Datuk R Sri Sanjeevan
Sri Sanjeevan

KUALA LUMPUR – Pasukan Petugas Pemantau Jenayah Malaysia (MyWatch) berharap Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) lebih tegas mengambil tindakan ke atas pihak yang melakukan kesalahan sepanjang kempen Pilihan Raya Kecil (PRK) Cameron Highlands berlangsung.

Pengerusinya, Datuk Seri Sanjeevan berkata, rakyat sedang menunggu dan akan membuat penilaian sejauhmana usaha SPR dalam memerangi salah laku jentera politik dan calon.

“Jika ada tindakan diambil, barulah rakyat akan percaya kepada SPR yang sebenarnya ada taring, bukan cakap tak serupa bikin,” katanya menerusi ciapan Twitter beliau hari ini.

Beliau memberi respon kepada kenyataan Pengerusi SPR, Azhar Azizan Harun dalam akaun Twitternya yang dilaporkan mengucapkan syabas kepada semua warganegara Malaysia kerana telah memantau perjalanan PRK Cameron Highlands.

Menurutnya, mereka telah banyak membantu dan ternyata keprihatinan terhadap perlunya satu proses pilihan raya yang bersih dan adil telah meningkat.

Sementara itu, pemerhatian MalaysiaGazette mendapati, sepanjang dua minggu tempoh berkempen pada PRK Cameron Highlands, banyak laporan polis telah dibuat oleh parti bertanding, termasuk aduan kepada SPR mengenai salah laku jentera dan calon.

Agak ketara yang berlaku ialah penyalahgunaan kenderaan milik jabatan kerajaan negeri oleh pemimpin PH yang berjawatan Timbalan Menteri dan calon DAP, M Manogaran berada dalam kawasan membuang undi dengan memakai baju logo parti. – MalaysiaGazette