Douglas Uggah
Douglas Uggah

KUCHING – Kerajaan Sarawak mahu lebih banyak usahawan tempatan meningkatkan keuntungan mereka menerusi skim Venture Capital yang diperkenalkan pada 2017 bertujuan menambah penggunaan teknologi dalam bidang pertanian.

Timbalan Ketua Menteri, Datuk Amar Douglas Uggah Embas berkata, sebanyak RM200 juta diperuntukkan kepada skim ini pada 2019.

“Kita cuba kurangkan perbincangan mengenai pemberian subsidi kepada usahawan kecil dan lebihkan usaha untuk melahirkan usahawan yang berprestasi baik dalam menguruskan ladang dan seterusnya dapat menaikkan keuntungan mereka.

“Venture Capital adalah penyertaan ekuiti. Kita beli saham daripada usahawan dan apabila mereka berjaya, kita akan menjual balik saham itu kepada mereka,” katanya kepada pemberita pada majlis tuaian pertama projek perintis nanas premium di Kampung Padang Pan, di Balingies Bau dekat sini, hari ini.

Mengulas lanjut, Uggah yang juga menteri permodenan pertanian, tanah adat dan pembangunan wilayah Sarawak berkata berurusan dengan Venture Capital adalah lebih mudah berbanding pihak bank kerana bank mempunyai banyak prosedur yang perlu dipenuhi.

Sementara itu, pada majlis berkenaan, nanas premium jenis MD2 yang pertama di Sarawak dituai hari ini.

Projek nanas itu merupakan hasil kerjasama Lembaga Perindustrian Nanas Malaysia (LPNM) dengan usahawan tempatan, David Disam, yang mengusahakan tananam nanas di kawasan seluas 24 hektar.

Menurut LPNM, keluasan tanaman nanas di negeri ini pada 2017 adalah seluas 1,342 hektar dengan jumlah pengeluaran 38,025 tan serta nilai pengeluaran RM48.22 juta.

Penanaman nanas di Sarawak adalah yang kedua terbesar selepas Johor, menurut badan itu.

Sarawak turut menerima peruntukan daripada LPNM keseluruhan bagi penanaman nanas sebanyak RM6 juta pada tahun ini. – Bernama