Amirudin Shari
Menteri Besar Selangor, Amirudin Shari
SHAH ALAM – PKR Selangor mengakui terdapat desakan daripada akar umbi parti itu yang mahu calonnya bertanding pada Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Semenyih, awal Mac depan.

Pengerusi Majlis Pimpinan PKR Negeri, Amirudin Shari berkata pihaknya bagaimanapun menyerahkan isu pemilihan calon itu kepada kepimpinan pusat Pakatan Harapan (PH) untuk membuat keputusan.

“Setakat ini kami (PH) bersetuju untuk mengekalkan status quo di kawasan berkenaan di mana anggota dari Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) akan mempertahankan kerusi tersebut.

“Malah dalam mesyuarat minggu lepas, kami semua telah menyuarakan sokongan penuh kepada Bersatu untuk bertanding mengekalkan kerusi berkenaan,” katanya kepada pemberita selepas Majlis Perhimpunan Bulanan Jabatan-Jabatan Kerajaan Selangor di sini, hari ini.

Amirudin yang juga Pengerusi PH Selangor berkata pihaknya akan mengadakan taklimat khas melibatkan semua parti komponen bagi membincangkan bagaimana untuk menggabungkan kerjasama semua parti bagi memastikan PH dapat mengekalkan kemenangan 100 peratus dalam PRK di Selangor,” katanya.

PRK DUN Semenyih akan diadakan pada 2 Mac ini berikutan kematian penyandangnya, Allahyarham Bakhtiar Mohd Nor dari Bersatu pada 11 Jan lepas, akibat serangan jantung.

Dalam perkembangan lain, Amirudin yang juga Menteri Besar Selangor berkata kerajaan negeri bercadang memberikan sekurang-kurangnya dua bulan bonus kepada penjawat awamnya yang mencapai sasaran Petunjuk Prestasi Utama (KPI).

Menurut beliau, pihaknya akan mencuba sedaya upaya untuk melaksanakan perkara itu bergantung kepada kedudukan semasa kewangan kerajaan negeri.

“KPI jabatan dan individu akan digabungkan bermula tahun ini untuk dijadikan sebagai penilaian bagi memudahkan proses pemberian bonus kepada penjawat awam yang mencapai prestasi terbaik dalam perkhidmatan mereka,” katanya.

Menerusi Belanjawan Selangor 2019 sebelum ini, kerajaan negeri mengumumkan pemberian bayaran khas kewangan atau bonus kepada penjawat awam akan dilaksanakan mengikut sistem KPI.

— BERNAMA