MANCHESTER – Manchester United tidak akan berpuas hati dengan hanya sekadar menamatkan saingan Liga Perdana Inggeris (EPL) musim ini di dalam kedudukan empat teratas.

Sebaliknya, kelab itu menyasar untuk menjulang piala sebanyak mungkin yang kini turut menjadi keutamaan beliau di Old Trafford.

Kenyataan pengurus sementara kelab itu, Ole Gunnar Solskjaer, menyusul berikutan komen Pengurus Tottenham Hotspurs, Mauricio Pochettino yang mendakwa kelayakan Liga juara juara Eropah lebih penting daripada menjulang kejuaraan.

Pochettiono merupakan pesaing utama Solskjaer untuk jawatan pengurus tetap Manchester United pada hujung musim ini.

Menurut Solskjaer, empat tempat teratas liga bukan idaman United yang sentiasa mensasarkan memenangi liga.

“Kami tidak boleh melakukannya musim ini tetapi perlu fokus ke hadapan untuk mengulangi kejayaan itu sebab itulah kelebihan kelab ini.

“Kita ada Liga Juara-Juara dan Piala FA England dan tidak boleh cepat berpuas hati dengan keputusan itu.

“Kita harus memikirkan apakah kita boleh menang sesuatu tahun ini?

“Saya sentiasa memperhalusi setiap perlawanan yang diharungi sebagai pengurus dan mahu menang setiap aksi tersebut kerana kami masih dalam saingan FA dan perlu cuba menang kejuaraan itu,” katanya.

Solksjaer membantu United melangkah ke pusingan kelima piala FA selepas menewaskan Arsenal 3-1 di Stadium Emirates pada minggu lalu.

Ia merupakan kemenangan kelapan berturut turut untuk Solskjaer sejak dilantik sebagai pengurus interim pada 19 Disember lalu.

Pochettino tersingkir dari saingan piala FA selepas dijinakkan 0-2 oleh Crystal Palace.

Solksjaer berusaha menerapkan mentaliti menang yang pernah dipelajari sebagai pemain ketika United dibawah kendalian Alex Ferguson.

“Saya di sini bukan untuk membincangkan mengenai apa yang disebut Pochettino, tetapi menang piala.

“Jika kamu boleh julang piala itulah keterujaan semua pihak di Theatre of Dreams dan itulah saat paling terbaik yang tidak tentu berulang lagi,” katanya.

Solksjaer akan bertemu Burnley di Old Trafford malam ini dan memburu kemenangan kesembilan berturut-turut.

Pengurus berusia 45 tahun itu juga menjelaskan dia sedang membuat persiapan untuk musim depan walupun belum pasti akan kekal di United.

“Saya melihat diri saya sebagai produk MU sebab saya memulakan karier sebagai jurulatih disini.

“Saya juga tidak peduli tentang pandangan orang lain terhadap saya dan tugas saya ialah memperbaiki pasukan ini dan itulah saya sedang melakukannya ketika ini,” ujarnya lagi. – MalaysiaGazette