Kali pertama Abd Aziz menerajui Utusan pada 26 Jun tahun lalu sebelum melepaskan jawatannya pada 13 Disember atas sebab komitmen peribadi.

KUALA LUMPUR – Selepas hampir 50 hari meninggalkan Utusan Melayu (M) Berhad, Datuk Abd Aziz Sheikh Fadzir kembali dilantik sebagai Pengerusi Eksekutif kumpulan media tersebut.

Pelantikan yang dibuat pada 29 Januari lalu itu diumumkan di Bursa Malaysia.

Kali pertama Abd Aziz menerajui Utusan pada 26 Jun tahun lalu sebelum melepaskan jawatannya pada 13 Disember atas sebab komitmen peribadi.

Abd Aziz, 56, yang juga seorang ahli perniagaan adalah Lembaga Pengarah Gold Bridge Engineering & Construction Berhad, selain Pengerusi Eksekutif Kretam Holdings Berhad dan Rangkaian Hotel Seri Malaysia Sdn Bhd.

Dalam pada itu, Utusan dalam maklumannya kepada Bursa Malaysia memberitahu, syarikat itu masih dalam proses merumuskan pelan penyusunan dan tidak ada perkembangan utama selepas pengumuman bertarikh 2 Januari 2019.

Utusan mempunyai kira-kira enam bulan untuk mengemukakan pelannya kepada pihak berkuasa yang berkaitan untuk kelulusan.

Syarikat itu diklasifikasikan sebagai status Amalan Nota 17 (PN 17) pada 20 Ogos tahun lalu setelah gagal membayar pinjaman daripada Bank Mualamat Malaysia Bhd dan Maybank Islamic Bhd.

Utusan dikehendaki mengemukakan pelan penyusunan kepada Suruhanjaya Sekuriti (SC) dalam tempoh 12 bulan daripada tarikh yang diumumkan. – MalaysiaGazette