Jawatankuasa Menyelamat Kuil Sri Maha Mariamman Seafield hari ini memfailkan permohonan semakan keputusan Mahkamah Koroner yang tidak membenarkan mereka menjadi pihak berkepentingan dalam prosiding inkues bagi menyiasat punca kematian anggota bomba, Muhammad Adib Mohd Kassim.

SHAH ALAM – Lima puluh penganut agama Hindu dan Jawatankuasa Menyelamat Kuil Sri Maha Mariamman Seafield gagal menjadi pihak berkepentingan dalam prosiding inkues bagi menyiasat punca kematian anggota bomba, Muhammad Adib Mohd Kassim.

Ini setelah Mahkamah Koroner di sini, hari ini menolak permohonan kedua-dua pihak itu yang diwakili peguam M. Visvanathan dan Siti Zabedah Kassim.

Hakim Rofiah Mohamad yang bersidang sebagai koroner ketika membuat keputusan itu berkata kedua-dua pihak berkenaan tidak mempunyai kepentingan yang nyata, substantif dan munasabah.

“Mahkamah tidak boleh keluar daripada sempadan dan perimeter prosiding inkues ini mengikut Seksyen 337 Kanun Prosedur Jenayah iaitu, mengetahui bila Muhammad Adib meninggal dunia, di mana beliau meninggal dunia, bagaimana beliau meninggal dunia, dalam apa cara beliau meninggal dunia.

“Berdasarkan perkara ini, identiti dan peranan kedua-dua pihak ini tersasar daripada terma rujukan prosiding inkues ini. Kedua-dua pihak ini tidak mempunyai kepentingan yang nyata, substantif dan munasabah¬†untuk mahkamah benarkan mereka mengambil bahagian dalam prosiding inkues,” katanya.

Siti Zabedah dan Visvanathan kemudian memaklumkan kepada mahkamah bahawa pihak mereka akan memfailkan semakan terhadap keputusan itu di Mahkamah Tinggi esok.

— BERNAMA