Menteri Pengangkutan, Anthony Loke Siew Fook bercakap ketika sesi sidang media pada Majlis Edaran Pek Cenderahati kepada penumpang KTM Berhad sempena Sambutan Tahun Baru Cina 2019 di Aras 2, Stesen KL Sentral, Kuala Lumpur. foto AFFAN FAUZI, 31 JANUARI 2019

KUALA LUMPUR – Pengerusi DAP Negeri Sembilan, Anthony Loke hari ini enggan menjawab pertanyaan media mengenai isu lantikan politik dalam agensi kerajaan.

Sebelum ini, lantikan politik  dalam badan-badan berkanun,  syarikat berkaitan kerajaan atau yayasan dilihat dikuasai beberapa parti dalam gabungan Pakatan Harapan (PH).

Bagaimanapun, Menteri Pengangkutan itu mencadangkan agar wakil media bertanya soalan itu semasa sidang media Majlis Presiden PH esok bagi mendapatkan maklumat lebih terperinci.

“Sudah banyak kali dijawab mengenai perkara itu. Esok ada mesyuarat Majlis Presiden PH, anda (wakil media) boleh tanya di sana semasa sidang media.

“Saya tidak mahu campur antara politik dengan isu perkhidmatan awam.

“Kalau ada soalan, boleh tanya semasa mesyuarat Majlis Presiden PH,” katakan dalam sidang media di KL Sentral hari ini.

Isu lantikan politik itu menjadi kontroversi sejak menjadi bahan berita utama dan kritikan pelbagai pihak sejak kebelakangan ini.

Antaranya Pertubuhan Peladang Kebangsaan (NAFAS) yang dikuasai oleh Parti Amanah Negara (Amanah) – salah satu parti dalam gabungan tersebut.

Nafas kini diterajui Datuk Phahrolrazi Mohd Zawawi selaku Pengerusi NAFAS.

Phahrolrazi kini adalah Timbalan Pengerusi Parti Amanah Negara (Amanah) Kedah yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri Alor Mengkudu.

Juga terpalit kontroversi adalah lantikan Ahli Lembaga Pengarah Yayasan Dakwah Islamiah Malaysia (YADIM) yang juga dilihat dikuasai oleh Amanah.

Dari Yang Dipertua YADIM, Nik Omar Nik Abdul Aziz daripada Amanah dan timbalannya, Zolkarnain Abidin juga dari parti yang sama.

Ahli Lembaga Pengarah YADIM pula terdiri daripada Muhamad Razak Idris yang memegang jawatan sebagai Sekretariat Angkatan Belia Islam Malaysia (ABIM), Mohamad Raimi Abdul Rahim (Presiden ABIM), Syed Ibrahim Syed Noh (Ahli Parlimen Ledang-PKR), Abdul Ghani Shamsudin (Timbalan Penasihat Umum Amanah), Ahmad Sayuti Bashiron (ahli Amanah).

Datuk Dr Samsu Adabi Mamat (Ketua Bahagian PPBM Cheras), Shamsul Ma’arif Ismail (Naib Pengerusi 2 Amanah), Maznah Daud (Wanita Amanah), Nor Azrina Surip (Ahli Parlimen Mantek – PKR), dan lantikan terbaharu, Sheikh Omar Ali (ADUN Paloh – DAP). -MalaysiaGazette