Menteri Dalam Negeri, Tan Sri Muhyiddin Yassin
Menteri Dalam Negeri, Tan Sri Muhyiddin Yassin

KUALA LUMPUR – Hanya seorang individu bawah umur yang masih lagi menjalani tahanan selama 2 tahun di Pusat Pemulihan Khas Kluang, sehingga 30 Januari lalu, kerana terlibat dengan kegiatan jenayah kekerasan.

Malah berdasarkan statistik Lembaga Pencegahan Jenayah (LPJ), tiada individu bawah umur yang sedang menjalani Perintah Pengawasan Polis di luar penjara.

Menteri Dalam Negeri, Tan Sri Muhyiddin Yassin berkata, pihaknya prihatin dan peka terhadap kebajikan semua tahanan termasuk tahanan bawah umur.

“Sekiranya ada tahanan bawah umur, mereka akan ditempatkan di tempat tahanan yang berasingan daripada tahanan dewasa iaitu di Pusat Pemulihan Khas Kluang,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Beliau menyatakan demikian bagi mengulas kenyataan Suruhanjaya Hak Asasi Manusia Malaysia (Suhakam) yang menggesa agar 142 orang kanak-kanak yang ditahan di bawah Akta Pencegahan Jenayah 1949 (POCA) dibebaskan.

Menurut Muhyiddin, jumlah tersebut merupakan statistik tangkapan polis pada 2015 hingga 2017 ke atas individu bawah umur kerana dipercayai terlibat dengan pelbagai kegiatan jenayah.

Malah, kata Muhyiddin, statistik tersebut telah dinyatakan semasa beliau menjawab soalan Ahli Parlimen Klang, Charles Antony Santiago di Dewan Rakyat pada 31 Oktober 2017.

Untuk makluman, katanya, jumlah 142 orang itu merangkumi 25 orang yang direman bagi siasatan lanjut, 18 orang yang telah dibebaskan, 87 orang yang telah dikenakan sekatan manakala bakinya seramai 12 orang telah ditahan di Pusat Pemulihan Khas.

“Ini menunjukkan bahawa tidak semua individu bawah umur yang ditangkap oleh pihak polis akan dikenakan Perintah Tahanan atau Perintah Pengawasan Polis di bawah POCA, tetapi setiap individu yang ditangkap akan melalui proses siasatan yang mendalam.

“Sekiranya terdapat bukti keterlibatan dalam aktiviti yang boleh diambil tindakan di bawah POCA, permohonan reman lanjutan akan dibuat di mahkamah dan proses inkuiri oleh Pegawai Siasatan KDN akan bermula,” jelas beliau.

Muhyiddin berkata, hasil daripada inkuiri yang dijalankan, Pegawai Siasatan Kementerian Dalam Negeri (KDN) akan mengemukakan laporan kepada LPJ.

Jelasnya, LPJ akan membuat penilaian berdasarkan laporan Pegawai Siasatan KDN dan Kertas Siasatan Polis sebelum membuat keputusan sama ada dikenakan Perintah Pengawasan Polis, Perintah Tahanan atau dibebaskan. – MalaysiaGazette