ENGLAND – Jawatan Pengurus Tetap Manchester United bakal menjadi milik Ole Gunnar Solskjaer.

Tetapi pengurus sementara itu disyaratkan untuk menewaskan Paris Saint Germain pada aksi kalah mati Liga Juara-Juara Eropah 15 Februari ini.

Jika legenda the Red Devils itu berjaya menjinakkan Kelab Liga Perancis itu, jawatan pengurus tetap adalah miliknya.

Solskjaer mengharungi permulaan terbaik di Old Trafford apabila menang lapan permainan dan satu seri daripada sembilan perlawanan sejak 19 Disember lalu.

Solskjaer juga mengubah suasana dan persekitaraan malap kelab itu selepas berjaya merapatkan kepada empat teratas dalam carta Liga Perdana Inggeris (EPL).

Pengurus kelahiran Norway itu pertama kali terikat seri oleh Burnley apabila bangkit menyamakan kedudukan 2-2 di Old Trafford Selasa lalu.

Naib Presiden Eksekutif United Ed Woodward telah mengadakan perbincangan dengan Solskjaer minggu lalu di Kompleks Latihan Carrington kelab itu.

Manakala majoriti kakitangan dan pemain kelab itu sangat yakin Solskjaer akan diberi mandat menerajui kelab secara tetap sepenuh masa jika legenda itu berjaya menundukkan PSG kelak.

Walaupun Woodward kini memihak kepada Solskjaer ekoran prestasi yang luar biasa, kata putus akhir terletak di tangan pemilik kelab itu, Glazers.

Perubahan drastik itu menyaksikan lima pemain bintang pasukan pertama bakal menyambung kontrak berjangka panjang di Theatre of Dreams.

Anthony Martial sudah mengikat kontrak lima tahun bernilai 200,000 pound bersama kelab itu kelmarin.

David de Gea, Paul Pogba, Marcus Rashford dan Ander Herrera akan mengikuti langkah sama memperbaharui kontrak masing masing selepas ini. – MalaysiaGazette