KUALA LUMPUR – Kerajaan telah membuka permohonan pendaftaran untuk Bantuan Sara Hidup (BSH) fasa kedua bagi tahun ini yang dijadualkan bayaran pada Mei ini.
Manakala fasa ketiga bayaran BSH dijadualkan pada Ogos tahun ini, kata Kementerian Kewangan dalam satu kenyataan hari ini.
Katanya, bayaran fasa pertama Bantuan Sara Hidup (BSH) 2019 telah dilaksanakan pada 28 Januari 2019 dan telah memanfaatkan empat juta isi rumah dengan bayaran RM300 bagi setiap isi rumah dan melibatkan peruntukan sebanyak RM1.2 bilion.
“Bayaran BSH 2019 selanjutnya dijadualkan pada bulan Mei 2019 untuk fasa kedua dan seterusnya pada bulan Ogos 2019 untuk fasa ketiga.
“Untuk menerima bayaran BSH 2019 selanjutnya, pemohon yang layak perlu mendaftar dan mengemaskinikan maklumat isi rumah.
“Secara amnya, isi rumah yang berpendapatan di bawah RM4,000 sebulan layak untuk menerima BSH dan pendekatan BSH adalah selaras dengan keprihatinan Kerajaan untuk menyasarkan bantuan hanya kepada golongan yang layak menerimanya iaitu golongan yang amat perlukan bantuan bagi menghadapi kos sara hidup,” sebut kementerian itu.
Tambahnya, kadar inflasi pada tahun 2018 adalah hanya pada tahap 1 peratus berbanding dengan 3.7 peratus untuk tahun 2017 yang mana inflasi tahun 2018 merupakan tahap terendah dalam tempoh sembilan tahun menunjukkan bahawa langkah kerajaan menggantikan Cukai Barang dan Perkhidmatan (GST) dengan Cukai Jualan dan Perkhidmatan (SST) berkesan dalam menyederhanakan kenaikan harga.
Menurut Kementerian Kewangan lagi, kerajaan akan terus
berusaha untuk mengurus perkara ini melalui langkah seperti BSH, serta mengadakan kajian khas ke atas struktur kos yang menyebabkan kenaikan harga setengah barangan keperluan naik lebih tinggi daripada kadar inflasi rasmi.
“Usaha-usaha ini dilakukan demi membantu rakyat
menangani tekanan kos sara hidup serta memastikan kenaikan harga barang keperluan terkawal.
“Tempoh pendaftaran BSH tahun 2019 telah dibuka mulai 1 Februari 2019 hingga 15 Mac 2019. Pemohon yang layak dialu-alukan untuk membuat permohonan melalui kaedah yang ditetapkan.
“Borang permohonan BSH 2019 adalah percuma dan boleh didapati di mana mana cawangan Lembaga Hasol Dalam Negeri dan Pusat Transformasi Bandar LHDM selain boleh juga dimuat turun borang permohonan di portal rasmi BSH iaitu https://bsh.hasil.gov.my.
Permohonan bagi BSH boleh juga dibuat secara dalam talian di portal rasmi BSH https://bsh.hasil.gov.my
Selain kaedah diatas, kata kementerian kewangan lagi, kerajaan juga akan mengambil langkah pro-aktif dengan kemudahan pendaftaran setempat, terutamanya untuk membantu pendaftaran isi rumah dari kawasan pedalaman yang terpencil serta golongan tertentu seperti yang terlantar.
“Kementerian Kewangan akan mewujudkan jalinan
usahasama dengan agensi Kerajaan seperti Jabatan Kebajikan
Masyarakat (JKM), Jabatan Kemajuan Orang Asli (JAKOA) dan Unit Penyelarasan Perlaksanaan (ICU), Jabatan Perdana Menteri yang pernah menjalankan kerja pendaftaran sebelum ini.
“Pada masa yang sama, proses pendaftaran dan pengemaskinian
maklumat isi rumah dilaksanakan bagi memastikan hanya isi rumah yang layak menerima BSH dan ini penting untuk memastikan sumber negara digunakan dengan berhemah serta bersasaran kepada golongan B40 dan mengelakkan ketirisan bantuan kepada golongan yang berada,” tegasnya.
Dalam perkara berkaitan kata kementerian baki bayaran BSH yang akan disalurkan pada fasa kedua dan ketiga menggunakan kaedah baharu seperti yang diumumkan dalam
Belanjawan 2019. – MalaysiaGazette
















