Ketua Pemuda UMNO, Datuk Dr. Asyraf Wajdi Dusuki bercakap pada sidang media selepas Mesyuarat Exco Pemuda UMNO Malaysia di Menara Dato' Onn, Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC), Kuala Lumpur. foto AFIQ RAZALI, 26 NOVEMBER 2018.

KUALA LUMPUR – Kerjasama UMNO dan Pas atas nama penyatuan ummah dilakukan atas kehendak rakyat, kata Datuk Dr. Asyraf Wajdi Dusuki.

Ketua Pergerakan Pemuda UMNO itu melihat kecaman Tun Dr. Mahathir Mohamad semalam kepada kerjasama itu sebagai satu tindakan terdesak.

“Sekurang-kurangnya UMNO sudah melepasi era 22 tahun Tun M sebagai Presiden UMNO dulu yang sentiasa tanam perasaan benci pada Pas.

“InsyaAllah UMNO dan Pas akan terus menjalinkan kerjasama atas nama Islam dan penyatuan ummah kerana itulah yang rakyat mahukan,” ujarnya dalam kenyataan hari ini.

Beliau mengulas kenyataan Mahathir yang juga Pengerusi Pakatan Harapan yang menganggap Pas sebagai ‘parti kafir’ bekerjasama dengan UMNO sehingga memenangi Pilihan Raya Kecil Parlimen Cameron Highlands.

Menurut Asyraf Wajdi, bagi UMNO hari ini, kelemahan dan kesilapan lampau akan dijadikan iktibar.

“Ini kerana yang lebih mustahak adalah untuk maju ke hadapan memastikan Islam terpelihara dan kepentingan rakyat tanpa mengira agama dan kaum terbela,” katanya.- MalaysiaGazette