Mohamaddin (kanan) pada program Sesi Libat Urus Bersama Usahawan Kraf Kelantan di Lembaga Kemajuan Kraftangan Malaysia Cawangan Kelantan semalam.
Mohamaddin (kanan) pada program Sesi Libat Urus Bersama Usahawan Kraf Kelantan di Lembaga Kemajuan Kraftangan Malaysia Cawangan Kelantan semalam.

KOTA BHARU – Bagi membantu industri batik negara terus berkembang, Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya akan menggalakkan pekerja sektor swasta memakai baju batik sama seperti penjawat awam yang digalakkan berbaju batik pada setiap Khamis.

Menterinya, Datuk Mohamaddin Ketapi berkata, walaupun kementeriannya belum mengadakan pertemuan dengan wakil sektor swasta, beliau yakin hasrat kerajaan akan diterima baik.

“Kementerian berhasrat agar pekerja sektor swasta turut memakai batik ini sekurang-kurangnya seminggu sekali seperti yang diamalkan oleh kakitangan kerajaan.

“Namun begitu, kita belum tentukan bila mereka akan mula memakai batik kerana belum mengadakan perbincangan lanjut untuk dimuktamadkan,” katanya kepada pemberita selepas Program Sesi Libat Urus Bersama Usahawan Kraf Kelantan di Lembaga Kemajuan Kraftangan Malaysia Cawangan Kelantan di sini, semalam.

Mohamaddin berkata, pihaknya telah mendapat maklum balas positif terutama daripada sektor perhotelan yang sebahagiannya telah mengamalkan pemakaian batik.

“Ini semua bertujuan untuk membantu industri batik agar terus berkembang maju bukan sahaja di dalam negara malah sehingga ke luar negara,” katanya.

Mengenai lambakan batik tiruan dari luar negara, Mohamaddin berkata, perkara itu berlaku kerana harga batik tempatan dijual pada harga yang mahal.

“Jika harga dapat diturunkan, batik tempatan akan terus mendapat kepercayaan,” katanya.

Sebelum itu, dalam ucapannya, Mohamaddin berkata, beliau telah berbincang dengan Kementerian Luar dan juga pejabat Tourism Malaysia di luar negara untuk mereka pamerkan kraftangan negara termasuk batik di pejabat kedutaan dan juga pejabat Tourism Malaysia.

“Mereka bukan sahaja mempamerkan malah kraf berkenaan boleh dibeli dan ini secara tidak langsung dapat mempromosikan hasil kraf rakyat kita sendiri,” katanya. – Bernama