Zuraida Kamaruddin
Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan, Zuraida Kamaruddin

KUALA LUMPUR – Kerajaan mulai tahun ini akan menyediakan peruntukan tahunan secara sistematik kepada 613 buah kampung baru Cina untuk mengadakan aktiviti.

Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan, Zuraida Kamaruddin berkata, setiap kampung akan menerima peruntukan sebanyak RM10,000 setiap tahun untuk tujuan tersebut.

Beliau berkata, sebelum ini, kampung baru tidak menerima peruntukan tetap, tetapi perlu memohon setiap kali semasa mengadakan program.

“Seperti tahun-tahun sebelumnya, kampung baru akan menerima RM85.5 juta untuk melaksanakan pembangunan fizikal, menyelenggara rumah, pembangunan komuniti dan sebagai peruntukan khas.

“Dengan menjumlahkannya, kampung baru akan menerima peruntukan yang mencecah RM91 juta tahun ini,” katanya kepada Sinchew Daily.

Katanya, isu peruntukan ‘tidak seimbang’ antara kampung Melayu dan Cina tidak wujud kerana sumber kewangan diberikan berdasarkan bilangan kampung.

“Terdapat 613 kampung baru Cina berbanding 15,402 kampung tradisional Melayu,” katanya.

Menurutnya, peruntukan untuk program kampung baru Cina digalakkan mengikuti tiga garis panduan iaitu pengurusan sisa pepejal, pendidikan komuniti dan pemerkasaan wanita.

Katanya, ekonomi kampung baru juga perlu ditambah baik termasuk mempromosi kampung yang berpotensi sebagai destinasi pelancongan. – MalaysiaGazette