Pengerusi Chua Lai Huat Holdings Datuk Chua Lai Huat (bertopi merah) dan Tan Sri Lee Lam Thye bergambar bersama tetamu di Majlis Rumah Terbuka anjuran Chua di Bukit Persekutuan.

KUALA LUMPUR – Rakyat Malaysia perlu menghargai dan mempertahankan perpaduan kaum kerana ia merupakan asas kepada keamanan negara.

Ahli perniagaan dan dermawan terkenal Datuk Chua Lai Huat berkata, Malaysia merupakan negara yang unik di mana rakyat dan pelancong luar negara dapat menikmati budaya dan makanan daripada pelbagai bangsa.

“Kita juga mengamalkan tradisi rumah terbuka sempena musim perayaan yang mampu mengeratkan hubungan antara kaum,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui di majlis terbuka anjuran keluarganya di Bukit Persekutuan di sini hari ini.

Turut hadir pemegang amanah Yayasan Perpaduan Malaysia, Tan Sri Lee Lam Thye, ADUN Gombak Setia Muhamad Hilman Idham, ketua pegawai eksekutif Chua Lai Huat Holdings Sdn Bhd Datuk K.C. Chua dan pengarah urusan Carlsberg Brewery Malaysia Berhad Lars Lehmann.

Lai Huat, 80, yang merupakan pengerusi Chua Lai Huat Holdings, berkata sebagai warga emas dan ahli perniagaan beliau amat berharap Malaysia terus kekal aman dan makmur agar semua lapisan masyarakat mampu hidup selesa apabila ekonomi terus berkembang.

Sementara itu Lam Thye berkata, konsep rumah terbuka yang diamalkan di Malaysia bukan sahaja dapat merapatkan hubungan rakyat tempatan tetapi juga memberi peluang kepada orang luar untuk memahami budaya tempatan.

Beliau berkata, keharmonian kaum yang dinikmati rakyat Malaysia pada masa ini merupakan hasil perjuangan generasi terdahulu yang sanggup bertolak ansur dan bekerjasama demi untuk membangunkan negara.

Majlis yang dihadiri lebih 300 tetamu dalam dan luar negara itu turut dimeriahkan dengan tarian singa dan pemberian ang pau kepada kanak-kanak. – MalaysiaGazette