Bangunan Kementerian Pendidikan Malaysia. foto HAZROL ZAINAL, 02 NOVEMBER 2018.

KUALA LUMPUR – Peruntukan berjumlah RM12 juta untuk sekolah-sekolah menengah persendirian Cina bagi tahun 2019 bukan daripada Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM).

Sebaliknya ia adalah dana khas yang telah disalurkan terus oleh Kementerian Kewangan kepada sekolah-sekolah terlibat.

Manakala peruntukan penyelenggaraan bagi Sekolah Jenis Kebangsaan Cina (SJKC) yang diumumkan oleh Timbalan Menteri Pendidikan kebelakangan ini adalah peruntukan yang telah pun diluluskan untuk tahun 2018.

Lantaran itu, laporan media sosial yang memberi gambaran seolah-olah KPM hanya memberi penekanan kepada pembangunan sekolah-sekolah Cina berdasarkan beberapa pengumuman yang dibuat oleh Timbalan Menteri Pendidikan adalah tidak benar.

“Dalam kes yang dipertikaikan oleh beberapa pihak, peruntukan penyelenggaraan SJKC yang diumumkan oleh Timbalan Menteri Pendidikan adalah peruntukan yang telah diluluskan pada tahun 2018, bukan peruntukan tahun 2019.

“Memandangkan peruntukan tersebut adalah peruntukan tahun 2018, maka KPM perlu menyalurkan ke Lembaga Pengelola Sekolah masing-masing sebelum tutup akaun 2018,” kata KPM dalam satu kenyataan di sini.

KPM memberitahu, Menteri Pendidikan telah mengemukakan permohonan kepada Menteri Kewangan untuk mendapatkan peruntukan tambahan bagi sekolah-sekolah kebangsaan dan sekolah-sekolah agama negeri.

Peruntukan itu bagi tujuan menyelenggara dan membaiki sekolah-sekolah berkenaan.

Menurut KPM, permohonan tersebut masih dalam pertimbangan Kementerian Kewangan.

Katanya, tanggapan yang menyatakan Kementerian Pendidikan tidak mengambil berat kebajikan murid dan sekolah khususnya sekolah-sekolah kebangsaan dan sekolah agama adalah tidak berasas sama sekali.

Menurut kementerian itu, untuk bajet tahun ini, ia mendapat peruntukan sebanyak RM5.2 juta untuk Rolling Plan Keempat Peruntukan Pembangunan berbanding bajet keseluruan berjumlah RM60.5 bilion.

Daripada RM5.2 bilion, sebanyak RM2.027 bilion diperuntukan bagi Sektor Pelajaran berbanding hanya RM1.446 juta pada tahun 2018.

Pada pembentangan Belanjawan 2019, kerajaan meluluskan RM652 juta untuk menaik taraf dan menyelenggara sekolah.

Peruntukan sebanyak RM128 juta diberikan bagi membangun dan menaik taraf sekolah-sekolah daif dengan menggunakan Peruntukan Pembangunan KPM.

Katanya, penyaluran peruntukan tersebut dibuat kepada Jabatan Kerja Raya dan dijangka selesai pada minggu ini. – MalaysiaGazette