Mohamad Sabu
Mohamad Sabu

KUALA LUMPUR – Isu penarikan balik saman Pas terhadap Sarawak Report baru-baru ini didakwa menyebabkan ada menyebabkan ahli parti itu kecewa.

Ia diakui oleh Presiden Parti Amanah Negara, Mohamad Sabu sendiri.

“Sejak beberapa hari lalu saya dan juga pemimpin Parti Amanah Negara (AMANAH) yang lain banyak menerima mesej dari rakan-rakan Pas yang meluahkan kekecewaan terhadap tindakan Pas yang membuat keputusan mengejut menarik balik saman terhadap Sarawak Report.

“Bagi mereka, keputusan bersifat ‘pusingan u’ itu tidak boleh diterima dalam keadaan seluruh ahli telah diyakinkan dengan panafian demi penafian oleh pemimpin tertinggi parti itu bahawa mereka tidak pernah menerima wang seperti yang didakwa.


Bagi AMANAH, keputusan Pas ini suatu detik penting kepada kepincangan berterusan yang berlaku dalam parti itu sejak 10 tahun lalu.

Ia juga sekaligus mengesahkan wujud jalinan ‘hubungan gelap’ parti itu yang turut melibatkan unsur-unsur penerimaan wang,” katanya dalam satu kenyataan semalam.

Justeru, Mohamad mengalu-alukan ahli dan pimpinan Pas untuk menyertai AMANAH.

“Sudah tiba masanya untuk kita sama-sama kembali berganding bahu di dalam satu wadah untuk membangunkan Malaysia.

“Perubahan yang dihasratkan berpuluh puluh tahun di dalam Pas tertangguh sekian lama diakibatkan tindakan beberapa kerat pimpinan yang melakukan hubungan gelap dengan parti lawan.

Menurutnya, AMANAH juga menyeru kepada kesemua ahli dan jentera di pelbagai peringkat untuk membuat persediaan bagi mengalu-alukan kehadiran ahli-ahli baru.

“AMANAH sangat terbuka untuk menerima ahli dari mana-mana parti termasuk Pas. Walaupun pernah berselisih faham sebelum ini, tiada dendam daripada ahli-ahli AMANAH kepada ahli-ahli Pas yang ingin berhijrah,” kata Menteri Pertahanan itu.- MalaysiaGazette