smoking ban generational endgame tobacco cigarette

KUCHING – Kerajaan Negeri akan berbincang dengan Kerajaan Persekutuan mengenai undang-undang anti merokok agar peraturan itu tidak bertindih dengan ordinan kerajaan tempatan.

Menteri Kerajaan Tempatan dan Perumahan, Datuk Dr Sim Kui Hian berkata, pada masa kini terdapat dua undang-undang yang bertindih yang boleh mengelirukan orang ramai.

“Kita tidak boleh mempunyai dua undang-undang yang bertentangan antara satu sama lain. Satu undang-undang berkata denda RM10,000 dan satu lagi RM15,000, mana satu yang nak diguna.

“Sebab itu kita perlu berbincang dengan Kerajaan Persekutuan, agar kita boleh tetapkan perkara yang sama dan bagaimana untuk seragamkan undang-undang anti merokok di Sarawak,” katanya kepada media pada majlis “rumah terbuka” sempena sambutan Tahun Baharu Cina di sini hari ini.

Pada Oktober lepas, Kerajaan Persekutuan mengumumkan bahawa perbuatan merokok di semua restoran, kedai kopi dan pusat penjaja – malah di tempat makan terbuka – di seluruh negara akan diharamkan berkuatkuasa 1 Januari 2019.

Mereka yang ditangkap kerana merokok di kawasan larangan berkenaan boleh didenda sehingga RM10,000 atau dipenjara dua tahun manakala tempat makan yang didapati membenarkan pelanggan merokok akan didenda maksimum RM2,500. – Bernama