KUALA LUMPUR – Kurikulum dan buku teks sekolah termasuk bagi subjek Sejarah akan diteliti semula berdasarkan pandangan serta laporan akhir Majlis Penasihat Pendidikan Kebangsaan (MPPK) dan Jawatankuasa Kajian Semula Dasar Pendidikan Kebangsaan (JKD).

Sehingga kini sistem dan dasar pendidikan sedia ada masih kekal, justeru menurut Kementerian Pendidikan, dakwaan yang tular kononnya ada ‘pasukan de facto DAP’ mahu ‘hijack’ atau mengubah subjek Sejarah sekolah rendah dan menengah adalah tidak berasas bertujuan memburukkan imej kementerian.

Dalam satu kenyataan di sini, Kementerian Pendidikan memandang serius tuduhan liarĀ  yang dikitar semula meskipun pernah disangkal dan diperjelaskan oleh Timbalan Menteri, Teo Nie Ching pada 23 Disember 2018.

“Kurikulum Kebangsaan termasuk bagi subjek Sejarah akan terus kekal melainkan jika ada cadangan atau saranan yang baharu oleh MPPK dan JKD.

“MPPK dan JKD sedang dalam proses menjalankan kajian dan mendapatkan input daripada pelbagai pihak berkepentingan berhubung cadangan dan syor penambahbaikan menyeluruh ke atas pendidikan Malaysia termasuk dari aspek sistem dan dasar pendidikan kebangsaan,” katanya.

Untuk rekod semakan semula bagi Kurikulum Standard Sekolah Rendah (KSSR) telah bermula pada 2017 sebelum Pilihan Raya Umum ke-14, di mana pihak kementerian mengambil usaha berterusan untuk menambahbaik kurikulum sedia ada untuk semua mata pelajaran.

Kata kenyataan itu lagi, Panel Pakar Rujuk Kurikulum Sejarah dan Buku Teks lantikan sesi kedua telah dibentuk pada 2017.

Buku Teks Kurikulum Standard Sekolah Menengah (KSSM) Sejarah bagi Tingkatan 1, 2 dan 3 telah selesai disemak, diteliti dan disahkan bermula tahun 2017 manakala buku teks KSSR (semakan 2017) Sejarah Tahun 4 dan KSSM Sejarah Tingkatan 4 masih dalam proses penerbitan.

“KPM yakin dan percaya dengan kebijaksanaan dan kewibawaan panel pakar rujuk dan ahli-ahli panelnya yang profesional dalam membuat keputusan yang sewajarnya berkenaan dengan penggubalan dan penambahbaikan kurkulum Sejarah tanpa pengaruh mana-mana pihak,” kata kenyataan itu lagi. – MalaysiaGazette