Mohamed Khaled Nordin

KUALA LUMPUR – Impian pengundi Pakatan Harapan (PH) untuk melihat ‘formula ajaib’ Tun Dr Mahathir Mohamad menyelesaikan masalah negara ternyata tinggal harapan kerana perubahan itu masih belum dirasai.

Malah, rakyat Malaysia terutamanya bangsa Melayu yang mencari pedoman baharu sudah pasti mengharapkan impak positif namun ianya belum nampak, kata Naib Presiden UMNO, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin.

Menurutnya, Malaysia sudah pasti berterima kasih kepada sumbangan Perdana Menteri, tetapi rakyat harus mengambil pandangan jauh dan ke hadapan.

“Kemajuan rak­yat lebih penting daripada membicarakan mengenai sengketa Dr. Mahathir dan Datuk Seri Najib Tun Razak atau ketulenan hubungan antara Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim dan Lim Kit Siang.

“Semua itu sangat merugikan bangsa Melayu dan Malaysia. Ingatlah ramai orang Melayu yang memilih PH bukan kerana mereka terlalu mahukan Dr. Mahathir, tetapi kerana mereka tidak suka kepada kepemimpinan lama dan masalahnya.

“Jadi, adalah sangat tidak bertanggungjawab jika Tun Dr. Mahathir dan kerajaan hanya menyerahkan nasib negara untuk dicorakkan oleh sekelompok ‘kakistokrasi’ yang semakin mencemaskan,” katanya menerusi kenyataan.

Mohamed Khaled juga berpendapat, era Dr. Mahathir sudah berakhir dan ia dapat dirumuskan apabila tiada pemikiran serta kecerdasan baharu selama sembilan bulan PH memerintah.

Ia sekali gus menyifatkan negara ini tidak boleh dipanggil Malaysia Baharu tetapi Malaysia yang sengsara, ujarnya.

Ini kerana, tambah beliau, Malaysia kini terperangkap dengan keghairahan mendamba pembaharuan tetapi sangat tersepit dengan pemikiran, naratif dan pendekatan lama.

“Kereta nasional, dasar pandang ke timur, pelaburan Jepun, persengketaan berterusan de­ngan Singapura, serangan ke atas ringgit oleh Amerika. Semuanya deja vu yang kembali bertalu-talu. Perkara dan dasar sama diulang-ulang,” ujarnya. – MalaysiaGazette