Datuk Mazlan Aliman Amanah Johor
Mazlan Aliman

KUALA LUMPUR – Pemuda UMNO Pengerang hari ini mendesak kerajaan Pakatan Harapan (PH) supaya menunaikan janji berkaitan Felda seperti terkandung dalam Buku Harapan.

Ketuanya, Aznan Tamin berkata, janji yang ditabur oleh PH bagi menghapuskan hutang peneroka Felda masih tidak kelihatan dan tidak menjadi realiti.

“Peneroka terus terhimpit dengan hutang-hutang mereka.

“Hal ini bertambah rumit bila harga komoditi sawit yang turun mendadak menyebabkan peneroka bertambah sengsara dan susah,” katanya menerusi kenyataan hari ini.

Menurut Aznan, menerusi Buku Harapan PH berjanji membela nasib dan mengurangkan beban hutang peneroka serta akan memoden serta menaiktaraf kawasan selain membuka peluang pendidikan buat anak-anak mereka.

Aznan Tamin
Aznan Tamin

Bagaimanapun katanya, keghairahan untuk menang telah membuatkan PH “buta mata” setelah merampas Putrajaya dari Barisan Nasional.

“Berapa ramaikah anak Felda yang telah dilantik dalam jawatan sesuai di semua peringkat Felda dan anak syarikat?

“Berapa ramai anak Felda yang telah diberikan kuota untuk menyewa dan membeli rumah mampu milik oleh kerajan negeri atau pusat?

“Berapa kuota atau jumlah kemasukan 2019 ke sekolah berasrama penuh yang terdiri dari anak Felda?

“Apakah peluang biasiswa dan peruntukan yang diberikan oleh kerajaan kepada anak-anak Felda,” soalnya dalam kenyataan hari ini.

Beliau turut mendakwa PH hanya tahu berjanji namun tidak mampu melaksanakannya.

“Apabila mereka dah pegang kerajaan dan berada sendiri dalam Felda, baru mereka tahu perkara yang sebenar. Dulu peneroka dianggap zalimi, dianiaya, ditipu dan macam-macam lagi

“Cuba tanya rakan dan saudara mara kita di Felda, adakah keadaan mereka lebih baik berbanding kerajaan sebelum ini,” katanya.

Dalam pada itu, Aznan turut mengkritik Pengerusi Persatuan Anak Peneroka Felda Kebangsaan, Datuk Mazlan Aliman yang kini sudah dilantik sebagai Pengerusi Lembaga Pertubuhan Peladang (LPP).

Beliau melahirkan kehairanan dengan jawatan yang diberikan kepada Mazlan apabila memegang jawatan di LPP dan bukannya Felda.

“Kemungkinan PH tahu behawa Mazlan Aliman juga hanya jaguh bercakap sahaja tetapi tidak melaksanakan. Lihat, apakah pembaharuan yang telah dibawa dalam LPP,” soalnya lagi.

Aznan menambah, peneroka sudah serik ditipu oleh kerajaan PH dan Pemuda UMNO mahu janji dalam Buku Harapan dikotakan segera. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast