Bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak bertemu peminatnya di luar mahkamah selepas selesai hadir ke mahkamah sesyen selepas didakwa Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) atas tiga pertuduhan berkaitan pengubahan wang haram di Mahkamah Kuala Lumpur, Jalan Duta, Kuala Lumpur.foto MUHAMMAD ZULHAIRI, 08 FEBRUARI 2019

KUALA LUMPUR – Jika sebelum ini ribuan penyokong membanjiri perkarangan Kompleks Mahkamah Jalan Duta untuk mengikuti perkembangan kes bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak, namun keadaan itu makin berbeza pada hari ini.

Ini kerana, jumlah kehadiran penyokong-penyokong Najib boleh dibilang dengan jari.

Antara yang masih setia mengikuti perkembangan perbicaraan kes Najib adalah Presiden Pemantau Malaysia Baru, Datuk Lokman Noor Adam, selebriti, Ellie Suriaty Omar dan  Datuk M. Saravanan.

Laungan ‘Terbaik Bossku’ masih boleh didengari namun tidak lagi meriah berbanding hari pertama perbicaraan kes Najib pada tahun lalu.

Situasi itu membuatkan suasana di sekitar kompleks mahkamah  tenang.

Meskipun begitu, Najib yang memakai sut biru kelihatan bersahaja ketika tiba di mahkamah.

Najib hari ini didakwa semula di Mahkamah Sesyen Kuala Lumpur atas tiga pertuduhan melibatkan diri dalam pengubahan wang haram berjumlah RM47 juta, lima tahun lepas.

Najib mengaku tidak bersalah terhadap tiga pertuduhan itu di hadapan Hakim Azman Ahmad.

Beliau kelihatan meninggalkan Kompleks Mahkamah Jalan Duta pada pukul 11.50 pagi. – MalaysiaGazette