NELSON, NEW ZEALAND – Kebakaran hutan yang berlaku di pulau selatan New Zealand di sini terus marak hingga memaksa 3,000 penduduk meninggalkan rumah mereka dan 170 kediaman telah dikosongkan.
Herald New Zealand melaporkan, angin yang kuat juga menyebabkan kebakaran di Lembah Pigeon itu meliputi kawasan seluas 2,300 hektar.
Tiada kematian dilaporkan setakat ini dan hanya sebuah rumah musnah.
“Namun wujud kebimbangan mengenai jangkaan angin kencang, yang dijangka menyebabkan operasi memadam kebakaran akan mengambil masa yang panjang,” kata laporan itu.
Ketika ini, seramai 155 petugas pemadam kebakaran menyertai operasi kebakaran di lapangan dengan bantuan udara 23 helikopter dan tiga kapal terbang sayap tetap (fixed-wing).
Jumlah itu menjadikan operasi cegah kebakaran udara terbesar dalam sejarah New Zealand.
Pengurus komunikasi Palang Merah New Zealand, Ellie Van Baaren memberitahu, kebanyakan mangsa berada dalam keletihan dan kecewa.
Kebakaran hutan itu bermula pada Isnin lalu dan merebak dengan cepat sehari kemudia. Pada Rabu, pihak berkuasa menyisytiharkan darurat.
Beratus-ratus sukarelawan dan pemadam api profesional, polis, pertahanan awam dan anggota tentera turut terlibat memadamkan api. – MalaysiaGazette