KUANTAN  — Mayat dipercayai kanak-kanak perempuan ditemui di kawasan padang ragut di Kampung Tanjung Medan Hilir, Pekan, petang semalam.

Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Pahang, Datuk Othman Nanyan berkata, mayat yang belum dikenal pasti identitinya ditemui oleh orang awam pada 4.25 petang.

“Mayat dijumpai dalam keadaan tertiarap di kawasan semak kira-kira 200 meter dari jalan utama yang agak terlindung daripada pandangan.

“Mayat dibawa ke Unit Forensik Hospital Tengku Ampuan Afzan di sini, dan bedah siasat akan dijalankan pada pagi esok untuk mengenal pasti punca kematian,” katanya kepada pemberita, di sini hari ini.

Menurut Othman, siasatan awal polis di kawasan penemuan mayat yang terletak bersebelahan ladang kelapa sawit itu tidak menemukan sebarang senjata.

Setakat ini kes diklasifikasikan sebagai mati mengejut sementara menunggu laporan bedah siasat, katanya.

Dalam pada itu, seorang wanita daripada komuniti Kemboja percaya mayat tersebut adalah anak perempuannya yang berusia 11 tahun yang dilaporkan hilang pada 30 Jan lalu.

“Ini berdasarkan baju yang dipakai sama dengan baju anak saya semasa dia keluar dari rumah untuk ke kedai,” katanya ketika ditemui pemberita di rumahnya di Tanjung Medan Kemahang yang terletak tidak jauh dari kawasan penemuan mayat.

Menurut Zaleha Abdullah, 35, dia membuat laporan polis pada hari yang sama selepas anak ketiganya daripada empat beradik itu gagal pulang ke rumah dan belum ditemui sehingga kini. — Bernama

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast