Syed Saddiq
Menteri Belia dan Sukan, Syed Saddiq Syed Abdul Rahman melakukan aktiviti berbasikal bersama para peserta pada program Fun Ride di sekitar Semenyih, Selangor. foto HAZROL ZAINAL, 10 FEBRUARI 2019.

SEMENYIH – Tarikh penganjuran Le Tour de Langkawi 2019 (LTdL 2019) masih dalam perbincangan dan belum ada kata muktamad, kata Syed Saddiq Syed Abdul Rahman.

Menteri Belia dan Sukan itu berkata, ketetapan tarikh penganjuran itu memerlukan keputusan yang tepat agar dapat memastikan acara tersebut mendapat liputan meluas media di peringkat antarabangsa.

Beliau percaya ia adalah langkah penting untuk mengembalikan kegemilangan dan status sukan berbasikal itu di persada dunia.

“Saya dimaklumkan bahawa perkara ini sedang dibincangkan dan ia perlu dapat kata putus daripada pihak penganjur, persatuan dan KBS (Kementerian Belia dan Sukan).

“Kita nak pastikan bahawa rangkaian media dapat laporkan (LTdL 2019) sebaik mungkin kerana ia dapat memulihkan status LTdL dan mengembalikan zaman kegemilangannya,” katanya kepada pemberita selepas mengadakan lawatan kerja rasmi di sekitar kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) Semenyih menerusi Program Fun Ride berbasikal bersama 80 peserta di sini.

Beliau diminta mengulas cadangan penganjur LTDL 2019, Human Voyage (M) Sdn Bhd untuk menunda tarikh penganjuran LTdL berikutan bertindih dengan Pameran Maritim dan Aeroangkasa Antarabangsa Langkawi 2019 (LIMA 19) pada 26 hingga 30 Mac depan.

Syed Saddiq membayanghkan keputusan boleh dijangkakan dalam masa terdekat, selepas mesyuarat pada pertengahan bulan ini.

Sementara itu, Syed Saddiq menyatakan pelantikan pengerusi baharu Yayasan Kebajikan Atlit Kebangsaan (YAKEB) akan dimuktamadkan selepas perbincangan dengan pihak berkepentingan termasuk bekas atlit.

Menurutnya, hampir setiap bulan terdapat cadangan nama calon yang berkelayakan daripada kalangan korporat dan bekas atlet.

“Esok saya ada pertemuan dengan YAKEB. Ada beberapa cadangan (nama calon) disampaikan.

“Saya dan pihak terlibat akan memastikan pilih calon terbaik (untuk jawatan Presiden YAKEB) dan juga boleh turun padang serta menjaga kebajikan atlet secara menyeluruh,” ujar beliau. – MalaysiaGazette