Jualan Perodua pada bulan Disember meningkat 11.5% kepada 22,940 unit daripada 20,299 kenderaan pada November 2021.- Gambar hiasan.

KUALA LUMPUR – Lebih 100,000 buah generasi ketiga Perodua Myvi kini sudah berada di atas jalan raya.

Pengarah Urusan Perodua Sales Sdn Bhd, Datuk Dr Zahari Husin berkata, ia tidak termasuk tempahan yang telah mencecah 150,000 buah.

Menurut beliau, Perodua akan terus bekerja keras untuk memenuhi pesanan itu dalam tempoh masa yang
sewajarnya.

“Model Myvi adalah paling berjaya dalam sejarah Perodua sejak ia dikeluarkan pada tahun 2005. Kami mengucapkan terima kasih kepada semua rakyat Malaysia kerana memilih Myvi,” katanya di sini.

Daripada maklum balas, para pelanggan amat positif secara keseluruhan dan ciri-ciri Myvi yang paling disukai mereka termasuk reka bentuk yang bergaya, praktikaliti, mudah dipandu, kos pemilikan dan penyelenggaraan yang rendah, ruang yang luas walaupun saiznya kompak, serta ciri-ciri canggih yang biasanya hanya terdapat pada kenderaan mewah.

Tambahnya, Perodua menutup tirai 2018 dengan rekod jualan 227,243 kenderaan, menjadikan ia syarikat pengeluar kenderaan terkemuka Malaysia selama 13 tahun berturut-turut.

Perodua telah menjual hampir 3.5 juta kenderaan sejak tahun 1994. – MalaysiaGazette