KUALA LUMPUR – Individu yang tidak memiliki pentauliahan khas daripada Jabatan Agama Islam setiap negeri berisiko dikenakan tindakan undang-undang.

Mufti Selangor Datuk Mohd Tamyes Abd Wahid berkata pentauliahan khas digunakan untuk mengekang penceramah bebas menggunakan mana-mana medium termasuklah media sosial untuk berceramah.

“Kita bukan untuk menyekat orang berdakwah tetapi lebih baik seorang penceramah itu mempunyai tauliah khas kerana kita yakin, mereka adalah orang berpandangan akidahnya ahli Sunnah Wal Jamaah dan bukan bidaah,” katanya.

Tambah beliau, terdapat peraturan khusus yang dikuatkuasa di setiap negeri bagi mengekang individu tidak mempunyai tauliah menyampaikan ceramah agama bagi mengelak timbulnya sebarang kekeliruan.

Jelas beliau, Seksyen 119 Enakmen Pentadbiran Agama Islam (Selangor) menyatakan sesiapa yang mengajar atau berceramah tanpa tauliah boleh didenda tidak melebihi RM3,000 atau dipenjarakan tidak melebihi 2 tahun atau kedua-duanya jika sabit kesalahan.

Bagaimanapun, seksyen itu tidak diguna pakai bagi individu yang mengajar atau berceramah di kediaman sendiri untuk anggota keluarganya.

Berdasarkan Seksyen 118(3) enakmen sama, kategori tauliah terdiri daripada tauliah mengajar atau berceramah, tauliah mengajar fardu ain, tauliah mengajar Al-Quran dan tauliah khas iaitu bagi individu bukan dalam kalangan orang agama tetapi mempunyai kemahiran dalam bidang masing-masing seperti pembangunan, keusahawanan dan kedoktoran.

Pendakwah bebas agama menjadi perbincangan di media sosial apabila ramai yang menggunakan platform itu mengeluarkan hukum berlatar akademik bidang agama

Tamyes dalam pada itu berkata masyarakat juga perlu main peranan penting dalam melaporkan sebarang aktiviti ceramah agama daripada penceramah yang tidak bertauliah kepada pihak berwajib. – BERNAMA