Ketua Pemuda UMNO, Datuk Dr. Asyraf Wajdi Dusuki bercakap pada sidang media selepas Mesyuarat Exco Pemuda UMNO Malaysia di Menara Dato' Onn, Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC), Kuala Lumpur. foto AFIQ RAZALI, 26 NOVEMBER 2018.

KUALA LUMPUR – Kempen Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri Semenyih menjadi medan rakyat menolak ‘Malaysia Palsu’.

Ketua Pergerakan Pemuda UMNO, Datuk Dr. Asyraf Wajdi Dusuki berkata, ‘Malaysia Palsu’ merujuk kepada kepimpinan kerajaan Pakatan Harapan (PH).

Beliau berkata, kerajaan ‘Malaysia Palsu’ hanya memberi kesan buruk kepada rakyat setelah pelbagai janji yang tidak dilaksanakan oleh PH.

“PRK DUN Semenyih boleh dijadikan satu referendum rakyat sejauh mana mereka berpuas hati dengan kerajaan PH yang bagi kita adalah kerajaan ‘Malaysia Palsu’ dan bukannya lagi ‘Malaysia Baru’.

“Kita ingat kepalsuan ini hanya di dalam manifesto yang tidak dapat ditunaikan tetapi hari demi hari kepalsuan itu terserlah malah sehingga di peringkat integriti kepimpinan.

“Kalau tidak terdedah berkenaan sijil palsu atau penipuan sijil oleh para netizen, saya kira menteri-menteri yang ada hari ini tidak seorang pun yang bersedia untuk bercakap benar tetapi apabila perkara ini tidak dapat dibendung lagi kita dapat lihat satu persatu menteri-menteri terpaksa mengaku walaupun waktu menjadi calon sebelum ini dengan bangganya meletakkan daripada universiti tertentu,” katanya memetik laporan UMNO Online.

Berliau brkata demikian pada sidang media selepas mempengerusikan mesyuarat Exco Pergerakan Pemuda UMNO di sini hari ini.

Asyraf Wajdi juga menegaskan perkara yang melibatkan integriti kepimpinan adalah satu perkara yang cukup besar dan bukannya perkara yang boleh dipermain-mainkan dan rakyat sedang menonton perkara tersebut.- MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast