Nasrudin Hassan
Nasrudin Hassan

KUALA LUMPURĀ – Parti Islam SeMalaysia (Pas) mendesak agar lawatan sambil belajar pihak polis ke Turki didedahkan termasuk penajaan syarikat nombor ramalan, Da Ma Cai kepada umum.

Ketua Penerangannya, Nasrudin Hassan berkata, insiden itu boleh menimbulkan konflik kepentingan dan menimbulkan persepsi negatif apabila wujud hubungan antara syarikat perjudian dan agensi penguatkuasa membanteras jenayah.

“Pas mempersoalkan mengapa lawatan Ketua Polis Negara dan beberapa orang pegawai ke Turki ditaja oleh sebuah syarikat perjudian (Da Ma Cai)?

“Pas mahu supaya butiran lawatan KPN dan pegawainya didedahkan kepada umum dan menuntut penjelasan berhubung perkara ini.

“Siapa pula yang memberikan arahan supaya syarikat perjudian Da Ma Cai menanggung kos lawatan tersebut?

“Pas mahu isu ini dijelaskan kepada rakyat. Tujuan lawatan KPN dan pegawainya adalah baik tetapi kaedah penajaan tersebut boleh menimbulkan konflik kepentingan,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

Semalam, Menteri Kewangan, Lim Guan Eng mengesahkan lawatan sambil belajar Ketua Polis Negara, Tan Sri Mohamad Fuzi Harun bersama pegawai kanan polis ke Turki ditaja oleh syarikat nombor ramalan, Da Ma Cai.

Menteri Dalam Negeri, Tan Sri Muhyiddin Yassin pula berkata, lawatan itu dibenarkan bagi mempelajari kaedah membanteras kegiatan judi dalam talian berdasarkan keperluan polis menangani kegiatan itu di negara ini, bukannya atas urusan peribadi.

Ahad lalu, sebuah portal berita antarabangsa melaporkan beberapa pegawai tertinggi Polis Diraja Malaysia (PDRM) termasuk Ketua Polis Negara pergi ke Turki.

Nasrudin juga mendakwa, insiden itu turut mengundang persepsi bahawa Kerajaan Pakatan Harapan (PH) akan memperkenalkan lebih banyak polisi dalam industri dosa bermula tahun ini.

“Pada 2019, terdapat beberapa perkara baru dalam industri dosa ini, antaranya kenaikan lesen dan duti berasaskan perjudian sekurang-kurangnya 30 peratus sepertimana yang telah dinyatakan dalam Belanjawan 2019.

“Begitu juga, terdapat desakan dari ahli-ahli Parlimen supaya cabutan khas nombor ramalan dihapuskan kerana ia mengundang lebih banyak masalah buruk dalam kalangan masyarakat.

“Lebih parah apabila terdapat pandangan yang mencetus kebarangkalian pihak tertentu mahu menggunakan pihak penguatkuasa seperti PDRM untuk kepentingan politik dan perniagaan mereka,” katanya lagi. – MalaysiaGazette