Datuk Seri Mujahid Yusof Rawa
Menteri Di Jabatan Perdana Menteri (Agama), Datuk Seri Mujahid Yusof Rawa menyampaikan ucapan pada Perhimpunan Bulanan Majlis Agama Islam Wilayah Persekutuan (MAIWP) di Bangunan PERKIM, Kuala Lumpur. foto FAREEZ FADZIL, 14 FEBRUARI 2019

KUALA LUMPUR – Majlis Agama Islam Wilayah Persekutuan (MAIWP) bakal menubuhkan Universiti Waqaf dengan menyediakan pendidikan percuma kepada golongan asnaf menjelang 2023.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Datuk Seri Dr Mujahid Yusof berkata, insiatif ini merupakan kesinambungan daripada pusat pendidikan sedia ada di bawah kawal selia baitulmal.

“Univerisiti Waqaf bakal ditubuhkan yang pertama di rantau Asia, dengan mengambil contoh Universiti Al-Azhar di Mesir dan sistem pengajian di Turki.

“Sudah ada asasnya kini melalui Kolej Sains Perubatan Antarabangsa Pusrawi (PICOMS) dan Institut Profesional Baitulmal.

“Kita yakin mampu bina fizikal dan kampus sendiri dalam tempoh lima hingga enam tahun akan datang,” katanya pada sidang media selepas merasmikan Perhimpunan Bulanan Majlis Agama Islam Wilayah Persekutuan (MAIWP) di Bangunan PERKIM, di sini, hari ini.

Datuk Seri Mujahid Yusof Rawa
Menteri Di Jabatan Perdana Menteri (Agama), Datuk Seri Mujahid Yusof Rawa menyampaikan ucapan pada Perhimpunan Bulanan Majlis Agama Islam Wilayah Persekutuan (MAIWP) di Bangunan PERKIM, Kuala Lumpur. foto FAREEZ FADZIL, 14 FEBRUARI 2019

Hadir sama Ketua Pengarah Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM), Datuk Mohamad Nordin Ibrahim dan Pengarah Jabatan Agama Islam Wilayah (JAWI), Mohd Ajib Ismail.

Sementara itu, Mohamad Nordin berkata, pembiayaan penubuhan Universiti Waqaf tidak menggunakan peruntukan kerajaan, sebaliknya bergantung kepada jumlah waqaf yang akan diberikan oleh umat Islam di negara ini.

“Sekurang-kurangnya RM10 seorang, kalau 12 juta umat Islam di negara kita mampu biaya universiti ini, tapi kita kena pupuk kesedaran mewaqaf ini dan tabung pembiayaan orang ramai akan kita wujudkan,” katanya lagi. – MalaysiaGazette