Perdana Menteri merangkap Pengerusi Parti Pribumi Bersatu Malaysia (PPBM), Tun Dr. Mahathir Mohamad berbual mesra dengan Menteri Dalam Negeri merangkap Presiden PPBM, Tan Sri Muhyiddin Yassin (kiri) dan Timbalan Presiden PPBM, Datuk Seri Mukhriz Mahathir (kanan) ketika hadir pada sidang media selepas Mesyuarat Majlis Pimpinan Tertinggi PPBM di Yayasan Al-Bukhary, Kuala Lumpur. foto FAREEZ FADZIL, 15 FEBRUARI 2019

KUALA LUMPUR – Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) hari ini telah bersetuju untuk melebarkan sayapnya ke Sabah dalam masa terdekat.

Perdana Menteri, Tun Dr. Mahathir Mohamad merangkap Pengerusi Bersatu berkata, keputusan itu dibuat selepas terdapat ramai bekas ahli UMNO yang ingin menyertai parti itu sebelum ini.

Jelasnya, ini kerana mereka tidak berminat untuk parti komponen Pakatan Harapan (PH) lain di negeri itu seperti DAP, PKR dan Parti Amanah Negara.

“Keadaan di Sabah terdapat tiga parti komponen PH yang lama di sana dan telah mengambil bahagian pada Pilihanraya Umum Ke-14.

“Bersatu tidak ada di sana dan menyerahkan peranan kepada Shafie (Datuk Seri Mohd. Shafie Apdal) yang tubuh Warisan (Parti Warisan Sabah).

“Dan adanya parti yang sokong PH kita mendapat kemenangan di Sabah,” katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media Majlis Pimpinan Tertinggi Bersatu di Yayasan Al Bukhary di sini hari ini.

Turut hadir, Presiden Bersatu, Tan Sri Muhyiddin Yassin.

Mahathir menambah apa yang luar biasa, Warisan bukan parti komponen PH namun parti itu diterima apabila PH menyokong mereka.

“Kita terima calon Warisan dalam kabinet seramai tiga menteri dan dua timbalan menteri.

“Ini satu tindakan luar biasa dan Bersatu berpendapat masalah timbul apabila ahli UMNO keluar dan bubar parti itu dan UMNO tiada lagi.

“Mereka tidak pilih Warisan kecuali satu orang dan yang lain mohon masuk Bersatu.

“Yang lain minta masuk parti Bersatu dan kami tidak ada di sana hingga sukar terima bekas ahli UMNO,” katanya.

Beliau juga menegaskan, kehadiran Bersatu bukan untuk menjatuhkan kerajaan Warisan tetapi memperkuatkan lagi mereka. – MalaysiaGazette

Artikel berkaitan:

Terpulang kepada Bersatu nak masuk Sabah atau tak, kata Tun M

DAP Sabah sokong pendirian Shafie tidak benarkan Bersatu masuki Sabah

Warisan mahu Bersatu hormati persetujuan tidak lebar sayap ke Sabah – Shafie