Timbalan Ketua Polis Negara, Tan Sri Noor Rashid Ibrahim (kiri) beramah mesra dengan penerima-penerima anugerah pada Majlis Penganugerahan Kontijen dan Daerah Terbaik Op Selamat 14 Sempena Tahun Baharu Cina 2019 di Persada PLUS, Petaling Jaya, Selangor. foto HAZROL ZAINAL, 15 FEBRUARI 2019.

PETALING JAYA – Polis yakin memperoleh keputusan sampel darah atau DNA dua mayat yang ditemui dengan kesan kerat di tepi sungai di Desa Coalfields pada 26 Januari lalu secepat mungkin.

Ketua Polis Selangor, Komisioner Datuk Noor Azam Jamaludin berkata, walaupun salah seorang mangsa telah dikenalpasti identiti sebagai ahli perniagaan warga Indonesia, pihaknya juga menjalankan tugas mengambil sampel darah individu terdekat mangsa.

“Pihak kami (polis) telah mengambi sampel darah individu dipercayai mempunyai pertalian darah dengan kedua-dua mangsa bagi mengenal pasti identiti kedua-dua simati.

“Sampel darah berkenaan sudah pun dihantar ke Jabatan Kimia untuk dianalisis bagi menentukan sama ada sepadan dengan individu dipercayai waris mangsa,” katanya dalam sidang media Majlis Penganugerahan Kontinjen dan Daerah Terbaik Op Selamat 14 Tahun Baru Cina 2019 di Persada Plus di sini hari ini.

Majlis disempurnakan oleh Timbalan Ketua Polis Negara, Tan Sri Noor Rashid Ibrahim hari ini.

Tambah Nor Azam, dalam perkembangan kes berkaitan, polis turut mengambil cap jari kedua-dua si mati itu untuk mengetahui identiti masing masing.

“Setakat ini, kita hanya mengesahkan kedua-dua si mati bukan warga tempatan tetapi sampel darah sudah dikemukakan untuk analisis.

“Kita tunggu keputusan itu dan dijangkakan diperoleh secepat mungkin,” ujarnya sambil mengesahkan tiada sebarang tangkapan baharu dalam kes tersebut.

Katanya, dua suspek awal yang ditahan pada 4 Februari lepas untuk membantu siasatan adalah warga Bangladesh disyaki terlibat dalam pembunuhan itu.

Kedua-dua suspek berusia dalam lingkungan 35 dan 40 tahun itu telah direman sehingga 25 Februari ini untuk disiasat.

Semalam, sebuah media tempatan Indonesia di Jakarta melaporkan Biro Penerangan Masyarakat Polis Republik Indonesia, Brigadier Jeneral Dedi Prasetyo mengesahkan salah seorang daripada dua mayat yang ditemukan polis Malaysia di Sungai Buloh dikenalpasti identitinya sebagai ahli perniagaan tekstil, Nuryanto

Mayat kedua-dua mangsa disyaki pasangan suami isteri ditemui di kawasan sungai berhampiran ladang kelapa sawit dalam beg plastik.

Badan mereka dikerat dan ditemui dalam beg plastik itu iaitu kepala, tangan dan kaki oleh orang awam di situ.

Katanya, lagi kes disiasat di bawah 302 Kanun Keseksaan kerana membunuh.- MalaysiaGazette