Timbalan Ketua Polis Negara, Tan Sri Noor Rashid Ibrahim menyampaikan anugerah kepada Ketua Polis Daerah Kuala Selangor, Superintendan Md Asri A Wahab (dua kanan) sambil diperhatikan Pengarah Urusan PLUS Malaysia Berhad (PLUS), Datuk Azman Ismail (kanan) pada Majlis Penganugerahan Kontijen dan Daerah Terbaik Op Selamat 14 Sempena Tahun Baharu Cina 2019 di Persada PLUS, Petaling Jaya, Selangor. foto HAZROL ZAINAL, 15 FEBRUARI 2019.

PETALING JAYA – Op Selamat boleh dilaksanakan secara berskala kecil setiap masa mengikut kesesuaian dan situasi trafik.

Bagaimanapun, faktor kos yang tinggi, kekuatan dan kebajikan anggota penguatkuasa perlu diambil kira sebelum merancang penguatkuasaan itu.

Timbalan Ketua Polis Negara Tan Sri Noor Rashid Ibrahim optimis Op Selamat boleh dilancarkan dalam berskala kecil sebulan sekali, atau seminggu sekali.

“Kalau boleh kita nak juga lancarkan Op Selamat ini setiap hari, setiap minggu atau setiap bulan. tapi disebabkan kos tinggi dan kekuatan tenaga juga perlu diambil pertimbangan sewajarnya.

“Semasa musim perayaan itupun kalau Tahun Baru Cina sahaja kita memberi cuti kepada anggota yang meraikan perayaan itu sebab kita nak majoritinya fokus tugas mereka.

“Malah polis juga perlu mengorbankan masa bersama keluarga mereka, tapi apapun kami bersedia melaksanakannya,” kata beliau dalam sidang media Majlis Penganugerahan Kontinjen dan Daerah Terbaik Op Selamat 14 Tahun Baru Cina 2019 di Persada Plus di sini.

Tambahnya, Polis bertanggungjawab menjaga kebajikan setiap anggota dan ahli keluarga mereka sepanjang bertugas.

“Kita boleh melancarkan dalam skala kecil Jabatan Siasatan Jenayah dan Pengurusan Trafik membuat perancangan dalam soal berkenaan.

“Mungkin sekiranya ada cuti hujung minggu macam hari Isnin atau Jumaat cuti perayaan,mungkin ada peningkatan trafik, pada masa itu kita akan buat pada skala kecil,” tegasnya.- MalaysiaGazette