Pengunjung melihat replika The Exchange, TRX di Hotel The Ritz Carlton, Kuala Lumpur. foto FAREEZ FADZIL, 12 FEBRUARI 2019

KUALA LUMPUR – Menteri Kewangan, Lim Guan Eng mendakwa langkah The Exchange TRX yang berjaya menarik pelaburan sebanyak RM2.15 bilion adalah hasil usaha ‘detox’ (pembersihan)  oleh kerajaan Pakatan Harapan (PH).

Menurut beliau, melalui usaha tersebut kerajaan telah berjaya menarik pelabur daripada bank-bank antarabangsa yang yakin dengan dana digunakan untuk tujuan sepatutnya.

“Dengan menyegerakan usaha-usaha ‘detox’ yang merangkumi tindakan mengenal pasti, mengasingkan dan kuarantin unsur-unsur penyelewengan, salah guna kuasa, dan salah laku berkaitan dengan 1MDB oleh pemimpin-pemimpin kerajaan terdahulu, kita telah berjaya menjadikan projek ini menarik kepada para pelabur,” katanya menerusi kenyataan hari ini.

Guan Eng berkata, TRX Exchange kini adalah projek bebas rasuah yang mendapat kepercayaan pelabur di dalam dan luar negara.

Ini dibuktikan dengan pelaburan RM2.15 Bilion menerusi syarikat usaha sama Lendlease, syarikat pemaju dari Australia, dan TRX City Sdn. Bhd., katanya.

“Saya percaya lebih banyak pelabur akan tertarik dengan projek ini, yang boleh menjadi satu projek global bertaraf antarabangsa selepas ‘dibersihkan’ daripada isu-isu berkaitan dengan 1MDB,” ujarnya lagi.

Pada Isnin lalu, Syarikat Australia, Lendlease Group mengesahkan pelaburan mereka di dalam membangunkan projek The Exchange TRX tidak sedikit pun terjejas akibat skandal 1Malaysia Development Bhd. (1MDB).

Ketua Pegawai Eksekutif Lendlease Asia, Tony Lombardo berkata, sejak awal lagi syarikat pemaju dan pengurusan hartanah itu berurusan dengan Kementerian Kewangan dan bukannya 1MDB.

The Exchange TRX sebelum ini dikenali sebagai Lifestyle Quarter adalah projek kerjasama di antara Lendlease dengan anak syarikat milik Kementerian Kewangan, TRX City Sdn. Bhd. bakal menjadi titik fokus kepada pembangunan berkelas dunia di daerah kewangan TRX yang berkeluasan 70 ekar.

The Exchange TRXs adalah pembangunan hartanah bercampur seluas 17 ekar merangkumi hotel, ruang pejabat gred A, pangsapuri, ruang runcit dan hiburan yang dihiasi oleh sebuah taman bandar berkeluasan 10 ekar. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast