Lim Guan Eng
Lim Guan Eng

KAJANG – Sebagai salah satu parti dalam gabungan Pakatan Harapan (PH), DAP bersedia untuk memberikan komitmen berkempen di kawasan majoriti Melayu dalam tempoh kempen Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Semenyih, kata Setiausaha Agung DAP, Lim Guan Eng.

Katanya, parti itu tidak ada masalah untuk turun ke kawasan Melayu sekiranya diperlukan oleh calon Parti Pribumi Bersatu Malaysia (PPBM), Muhammad Aiman Zainali.

“Kalau perlu (masuk ke kawasan majoriti Melayu), tak ada masalah. Kita akan bantu seberapa yang boleh.

“Saya rasa sekiranya diperlukan, kita (DAP) akan masuk apa-apa kawasan yang diminta oleh pihak calon. Kita akan bekerjasama di bawah payung PH,” katanya kepada media ketika sesi penamaan calon di Dewan Seri Cempaka Majlis Perbandaran Kajang (MPKj) sebentar tadi.

Dalam pada itu, PH harus berusaha untuk terus mengekalkan kerusi Semenyih memandangkan penyandangnya sebelum ini adalah daripada gabungan itu.

“Saya harap rakyat terus beri ruang dan peluang kepada PH untuk jalankan tugas yang diamanahkan rakyat pada PRU-14.

“Ini termasuk untuk kami melaksanakan janji dalam manifesto PH yang memerlukan sedikit masa kerana keadaan kewangan tidak menentu ekoran daripada skandal 1MDB (1Malaysia Development Bhd),” katanya lagi.

DUN Semenyih menyaksikan kaum Melayu adalah pengundi majoriti di kawasan ini dengan 36,859 orang atau 67.6 peratus daripada jumlah keseluruhan adalah 54,503 pengundi.

Ia diikuti pengundi Cina dengan 9,034 orang atau 16.6 peratus), kaum India 7,577 pengundi atau 13.9 peratus), Orang Asli 289 pengundi dan lain-lain kaum 744 pengundi. -MalaysiaGazette