PapaGomo ditahan polis baru-baru ini bagi siasatan kes mengkasari Syed Saddiq.

KUALA LUMPUR – Pengendali laman blog Papa Gomo atau nama sebenarnya Wan Muhammad Azri Wan Deris hari ini ditahan Polis Diraja Malaysia (PDRM) berhubung siasatan laporan polis Menteri Belia dan Sukan, Syed Saddiq Syed Abdul Rahman.

“Untuk makluman, PapaGomo baru sahaja ditahan oleh polis sebentar tadi, berhubung dengan kes semalam kononnya Syed Saddiq dicekik lehernya,” kata sumber kepada Malaysia Gazette hari ini.

Azri dalam status Twitternya memaklumkan beliau dibawa telah dibawa ke Ibu Pejabat Polis Daerah Kajang untuk siasatan lanjut.

“Terima kasih IPD Kajang jemput. Saya  di rumah memandangkan banyak pulak special team dari Bukit Aman dah berkumpul depan rumah saya sejak pagi tadi nak ambush,” katanya di Twitter.

Semalam, polis mengesahkan menerima dua laporan polis berhubung kes melibatkan Syed Saddiq setelah berlangsung majlis penamaan calon bagi Pilihan Raya Kecil (PRK) Semenyih pada Sabtu sedang disiasat di bawah Seksyen 353 dan Seksyen 147/323 Kanun Keseksaan.

Perkara itu dinyatakan Ketua Polis Kajang ACP Ahmad Dzaffir Mohd Yusoff.

Dalam laporan itu, Syed Saddiq mendakwa beberapa penyokong pembangkang menyerbu ke arah beliau dan salah seorang daripada mereka (Papa Gomo) memegang bahu serta mencekak leher Ketua Pemuda Bersatu.

Dakwa Syed Saddiq, serangan provokasi itu berlaku pada jam 11.30 pagi sebaik beliau keluar dari pusat penamaan calon PRK DUN Semenyih yang berlangsung di Dewan Seri Cempaka Majlis Perbandaran Kajang (MPKJ). -MalaysiaGazette

ARTIKEL BERKAITAN:

Blogger dipanggil polis bantu siasatan dakwaan kasari Syed Saddiq