Takiyuddin Hassan
Takiyuddin Hassan

KUALA LUMPUR – Surat akujanji bertandatangan yang diserahkan Pas kepada Tun Dr Mahathir Mohamad semalam adalah bagi menzahirkan sokongan parti itu terhadap kepimpinan perdana menteri dan jika apa-apa berlaku Pas sentiasa kekal menyokong Dr Mahathir.

Setiausaha Agung Pas, Datuk Takyuddin Hassan berkata, ini kerana Presiden Pas, Datuk Seri Abdul Hadi Awang menghidu sesuatu yang tidak kena akan berlaku dalam kerajaan Pakatan Harapan (PH) berikutan amaran-amaran yang dikeluarkan Dr Mahathir tentang pengkhianatan dan sabotaj kepada kerajaan.

“Kami melihat ini sesuatu yang berbahaya kepada negara sebab itu kita menyatakan sokongan, surat akujanji itu adalah sokongan kami jika apa-apa berlaku kepada Tun Dr Mahathir, Pas akan sentiasa bersama beliau,” katanya

Beliau berkata demikian pada sidang media selepas Mesyuarat Jawatankuasa Harian Pas Pusat di Rusila, Terengganu hari ini.

Menurut Takiyuddin, surat akujanji itu tidak ada kena mengena dengan sokongan Pas kepada UMNO dalam Pilihan Raya Kecil Semenyih, bagaimanapun, beliau menjelaskan bahawa tahap sokongan parti itu kali ini berbeza dengan PRK Cameron Highlands.

Menurut Ahli Parlimen Kota Bharu itu, tidak ada apa-apa perakuan bertulis mahu pun lisan tentang kerjasama Pas dan UMNO di Semenyih, sebaliknya yang hanya dibincangkan secara lisan antara Abdul Hadi dengan Dr Mahathir adalah tahap sokongan Pas.

“(Kalau) secara lisan ada disentuh oleh Tun M dan Abdul Hadi.. kita menyatakan kita tak menyertai PRK Semenyih dan tahap kerjasama serta komitmen kita pula berbeza antara PRK Cameron Highlands dengan Semenyih.

“Maknanya tahap penyertaan penglibatan (kerjasama), arahan kita dengan UMNO dan Barisan Nasional (BN) tidak sama dengan PRK Cameron Highlands.

“Pendirian dan konsisten Pas ialah meletakkan Islam di tempat pertama, di samping kita meletakkan hubungan dengan UMNO atas solidariti pembangkang,” katanya.

Ditanya sama ada ia bermakna Pas mengurangkan sokongan kepada UMNO, katanya, bergantung kepada jentera parti dan perkara itu akan diteliti.

Mengulas lanjut, katanya, apabila bercakap tentang tahap sokongan yang berbeza terpulang kepada mana-mana pihak untuk membuat tafsiran.

Menurut Takiyuddin, pertemuan Abdul Hadi dengan Dr. Mahathir pagi Jumaat lalu adalah untuk menjalin kerjasama yang baik berdasarkan semangat federalisme antara kerajaan Pusat dengan kerajaan Pas Kelantan dan Terengganu.

Perbincangan tersebut, katanya, berkisar kepada pentadbiran, pembangunan dan royalti.

Ditanya kenapa Abdul Hadi seperti mengelakkan diri daripada bertemu wartawan semalam, Takiyuddin berkata, Presiden Pas mengambil langkah untuk tidak membuat kenyataan media lebih awal kerana menghormati pandangan dan keputusan parti yang bermesyuarat hari ini.

Menurut Takiyuddin, Pas masih bekerjasama dengan UMNO di DUN Semenyih apabila Naib Presiden, Idris Ahmad dan Datuk Iskandar Abdul Samad serta barisan kepimpinan Dewan Muslimah serta Dewan Pemuda Pas Malaysia hadir pada hari penamaan calon semalam.

Malah, katanya, muslimat Pas juga telah mula turun berkempen membantu calon Barisan Nasional.

Ditanya adakah Abdul Hadi akan turun berkempen membantu calon BN di Semenyih, katanya, beliau belum melihat keseluruhan jadual yang diselaraskan oleh jentera di DUN berkenaan.

“Kena tengok jadual dulu..saya belum tengok jadual lagi,” katanya. – MalaysiaGazette

Artikel berkaitan: Pas kata tak sokong BN tapi tak mahu isytihar – Tun M

Abdul Hadi mengaku tidak sokong UMNO pada PRK Semenyih – Tun M

Apa di sebalik pertemuan Hadi dan Tun M?

Isu pertemuan Tun M – Hadi tak ganggu jentera BN, Pas

UMNO percaya kerjasama Pas ikhlas