Calon Pakatan Harapan PRK N.24 Semenyih, Muhammad Aiman Zainali (tiga kiri) dan isteri, Nurul Filzah Bakhtiar (dua kiri) beramah mesra dengan salah seorang penduduk, Ishak Nawi (kanan) ketika mengadakan lawatan rumah ke rumah sempena Pilihanraya Kecil N24 Semenyih di Kampung Sentosa, Semenyih, Selangor. foto HAZROL ZAINAL, 19 FEBRUARI 2019.

SEMENYIH – Calon Pakatan Harapan (PH), Muhammad Aiman Zainali, 30, menafikan edaran risalah berunsur provokasi melibatkan bekas perdana menteri, Datuk Seri Najib Razak dilakukan oleh jentera kempen partinya.

Beliau tidak pasti perkara itu dilakukan oleh pihak mana dan menolak ia dibuat oleh jentera pilihan raya dari pihak PH.

“Saya tak pasti itu dari pihak siapa, yang pasti itu bukan dari pihak kami sebab pada saya lebih baik berkempen dengan cara yang sihat mengikut landas-landas demokrasi.

“Siapa yang menang siapa yang kalah, itu terpulang kepada pengundi. Pada akhirnya pengundi yang akan buat keputusan,” katanya kepada media ketika melakukan ziarah bertemu beberapa warga emas di Kampung Sentosa di sini hari ini.

Beliau diminta mengulas laporan sebuah portal atas talian apabila mendapati wujud risalah mengkritik Ahli Parlimen Pekan yang diedar di sebuah pasar raya terkemuka di sini.

Laporan itu ditulis oleh wartawan yang secara kebetulan turut menerima risalah tersebut.

Menurut lapran itu, risalah berkenaan ditulis dengan perkataan ‘Malu apa bossku’ dan turut tertera perkataan ‘pencuri, perompak, penyangak, penyamun dan Malaysia jangan lupa.

Turut terpampang pada risalah itu tulisan ‘Rosmah sumbang RM326 juta?’ yang dikaitkan dengan laporan berita bertajuk ‘Anak Rosmah, Riza Aziz harumkan nama negara’.

Berita tersebut mengisahkan penerbitan filem The Wolf Of Wall Street menelan belanja RM326 juta yang didakwa hasil sumbangan ibunya, Datin Seri Rosmah Mansor.

Dalam perkembangan sama, Muhammad Aiman berkata, beliau akan memastikan kain rentang provokasi dipercayai dari PH yang dipasang di tepi jalan berhampiran restoran makanan segera di Beranang diturunkan.

Menurutnya, beliau akan melihat perkara itu terlebih dahulu dan akan menggesa jentera kempen menurunkannya.

“Saya harap kita akan lihat dan kalau boleh kita turunkanlah yang itu,” ujarnya.

Kain rentang berlogo PH di kawasan sekitar Semenyih itu tertera tulisan ‘Kami Bukan Pencuri, Kami Bukan Pembohong, Kami Bukan Perompak’ tidak disenangi penyokong Barisan Nasional.

Konotasi itu berkemungkinan ditujukan kepada Najib yang ketika ini belum didapati bersalah dalam sebarang kes di mahkamah. – MalaysiaGazette

ARTIKEL BERKAITAN:

https://malaysiagazette.com/blog/2019/02/18/kain-rentang-provokasi-kempen-prk-semenyih/

 

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast