KUALA LUMPUR – Majlis pertemuan wakil kerajaan Pakatan Harapan (PH) dengan ketua kampung di Negeri Sembilan kelmarin, bertukar kecoh apabila segelintir daripada mereka ‘mengamuk’ dan tidak dapat mengawal rasa kecewa atas kegagalan kerajaan menyelesaikan permasalahan rakyat.

Selain kecewa, mereka juga tidak berpuas hati dengan sikap lewa pemimpin kerajaan negeri mahupun pusat tidak cakna dengan tanggungjawab berat yang dipikul Pengerusi Majlis Ketua Kampung (PMKK) lantikan PH.

Seorang PMKK yang memperkenalkan namanya sebagai Razali Abdullah memberitahu, beliau cukup pelik dengan kerajaan baharu PH.

Katanya, kerajaan itu sepatutnya buat sesuatu dengan mendapat maklumat dari bawah seperti ketua kampung terlebih dahulu, kemudian diangkat ke pengetahuan dan penelitian pemimpin.

“Ini tidak, mereka bawa arahan dari atas turun ke bawah minta kita (ketua kampung) buat, kononnya kita di bawah ini perlu menjalankan amanah rakyat.

“Apa yang dilakukan pemimpin kerajaan hari ini jauh lebih pelik. Mereka buat polisi dulu, selepas itu suruh kita buat. Sepatutnya, mereka ambil maklumat dari kita dulu, baru buat polisi,” katanya yang mendapat sokongan daripada ketua kampung yang hadir.

Majlis itu sempat dirakam peserta yang hadir dan ditular di media sosial.

Katanya, dengan apa yang berlaku sepanjang sembilan bulan pemerintahan PH, terbukti matlamatnya masih kabur dan tidak jelas.

“Kamu ni tahu ke tak tahu, (buat) kerja? Yang memenang amanah itu siapa (kalau) tidak rakyat. Jadi, tolonglah sikit,” katanya.

Razali memberi contoh, penguatkuasaan larangan merokok yang diperkenalkan Kementerian Kesihatan baru-baru ini dikatakan antara perancangan bodoh dari kerajaan PH.

“Macam larangan merokok…apa ni? Patutnya buat kajian di bawah dulu baru dibuat undang-undang, bukan buat undang-undang dulu baru buat kajian.

“Tun M (Tun Dr. Mahathir Mohamad) dah cakap jangan susahkan orang susah…itu Tun M perintah.

“Ini, buat menyusahkan orang susah. Kamu tinggal di bandar tidak tahu orang susah di luar bandar. Lagi-lagi susahkan kami,” tegasnya.

Majlis itu dipercayai anjuran kerajaan negeri yang bertujuan untuk memberi penerangan kepada Pengerusi Majlis Ketua Kampung.

Bagaimanapun, ia menjadi tegang apabila ramai dalam kalangan peserta yang merupakan ketua kampung menjadikannya sebagai medan mengutuk, mempersendakan pentadbiran kerajaan negeri dan Persekutuan yang disifatkan mereka sebagai lemah.

“Lebih baik jangan lantik MKK lah, dulu JKK (Jawatankuasa Kemajuan Keselamatan Kampung bawah Barisan Nasional) kita namanya sebagai Jin Kacau Kampung, ini (MKK) polong kacau kampung,” kata ketua kampung itu.

Dia juga mengingatkan kerajaan PH agar cukup-cukuplah memperbodohkan mereka dengan perancangan pentadbiran yang memalukan.

“Cukup-cukuplah memperbodohkan kami,” katanya. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast