Sukarelawan, Muhd Danial Syaqeer Ahmad Nazir (kanan) bersama Muhammad Al-Haffizul Firdaus Muhammad Yusre (kiri) memasang bendera parti Pakatan Harapan di bahu jalan sempena Pilihan Raya Kecil (PRK) N.24 Semenyih di PDM Beranang, Selangor. foto SYAFIQ AMBAK, 18 FEBRUARI 2019

SEMENYIH – Calon-calon Pilihan Raya Kecil (PRK) Semenyih serta pemimpin politik secara amnya diberi peringatan agar tidak sesekali menggunakan peluang berkempen sekadar mengaburi mata rakyat semata-mata untuk mendapatkan undi dan kemudian ‘lesap’ begitu sahaja sejurus menang.

Ada segelintir pemimpin sebelum menang sesebuah kerusi, sanggup melakukan apa sahaja tetapi selepas itu batang hidung pun tidak nampak.

Shah Ehsan

Itu luahan anak jati Beranang, Semenyih, Robishah Darul Ehsan, 40, yang sudah menetap bersama keluarganya sejak 43 tahun lepas.

Robishah atau lebih mesra dengan panggilan Shah Ehsan bekerja sebagai kerani di Kajang berkata, dirinya yang telah beberapa kali mengundi dan merasakan PRK kali ini tidak ada bezanya dengan sebelum-sebelum ini.

Jelasnya, setiap kali menjelang musim pilihan raya, barulah masing-masing mahu menunjukkan komitmen serta fokus kepada keperluan penduduk setempat, jika tidak sangat payah sekali.

“Masa inilah semua berlumba-lumba masuk kampung sedalam mana yang mungkin, redah longkang, lawat orang sakit atau nazak. Sumbang kebajikan kepada golongan OKU atau warga emas.

“Masa itu jugalah anda boleh nampak perubahan, janji-janji terdahulu sedikit sebanyak ditepati terutamanya ketika dekatnya pilihan raya atau tempoh kempen. Berduyun-duyun bantuan kunjung tiba.

“Ketika itu anda boleh nampak perlawanan serta persaingan siapa lagi hebat serta jaguh yang mampu membawa perubahan kepada sesuatu kawasan itu.

“Selepas itu, ‘haram jadah’, hilang begitu sahaja. Tidak pula bersusah-susah duduk bawah panas terik, bersihkan longkang, lawat orang sakit. Malah bantuan serta perhatian yang kita minta hanya di pandang sepi.

“Kita harap kali ini berubah sikit, kini bukan seperti dulu lagi. Kerajaan atau pembangkang, jika gagal laksanakan apa yang telah di taburkan itu, kita pangkah undi mengikut selera. Kita ‘ajar’ mereka untuk hormati mandat rakyat.

“Itu sahaja, sekarang senang. Sudah malas dan muak. Kita sudah tahu, malah setiap tohmahan serta tuduhan dan dakwaan jika tidak ada bukti, rakyat juga tidak mahu percaya lagi. Itu satu hal hasut menghasut ini, paling penting kita mahu kebajikan kita terjaga, kerana itu kami undi calon atau parti tertentu,” katanya panjang lebar.

MGF18022019_CALON BN WALKABOUT10
Calon BN PRK N.24 Semenyih, Zakaria Hanafi (kiri) bersalaman dengan salah seorang pengundi ketika sesi walkabout sempena Pilihan Raya Kecil N.24 Semenyih di Pasar Malam Tasek Kesuma, Semenyih, Selangor. foto HAZROL ZAINAL, 18 FEBRUARI 2019.

Jelas Shah Ehsan, sebagai penduduk Semenyih untuk sekian lama, ada banyak permasalahan yang sememangnya memerlukan perhatian termasuk isu-isu seperti pendidikan, banjir di kampung tertentu apabila adanya penempatan baharu, kesesakan lalu lintas, pengangkutan awam tidak efisyen dan lain-lain lagi.

MGF18022019_CALON PH JALINAN KASIH02
Calon Pakatan Harapan PRK N.24 Semenyih, Muhammad Aiman Zainali meluangkan masa beramah mesra bersama seorang Orang Kelainan Upaya (OKU) penglihatan, Jamaluddin Abdul Majid pada program jalinan kasih sempena kempen Pilihan Raya Kecil (PRK) N.24 Semenyih di Batu 26, Beranang, Selangor. foto AFFAN FAUZI, 18 FEBRUARI 2019

“Saya bagi contoh, sehingga PRK inilah, baru pihak berwajib mahu sambung bina projek Sekolah Rendah Pelangi Semenyih, sebelum ini ia terbengkalai sejak PRU yang lepas. Kita di sini sebenarnya kekurangan sekolah rendah termasuk untuk India dan Cina.

“Pekan tidak banyak masalah jika hendak dibandingkan dengan kampung-kampung, antaranya isu banjir terutamanya bila ada penempatan baru. Sampai sekarang gagal ditangani dengan baik.

“Isu lain seperti tol yang banyak dengan berlambak lebuh raya sekitar ini, tidak cukup dengan itu ditambah pula dengan kesesakan teruk. Kita juga ada masalah pengangkutan awam. Banyak sebenarnya masalah di sini. Penempatan memang semakin pesat di sini tetapi banyak implikasinya.

“Rumah mampu milik juga sukar dimiliki kerana semuanya sangat mahal dan tidak mampu oleh golongan tidak berkemampuan.

“Turut jadi tanda tanya adakah dengan kerajaan baharu ini, kebajikan kita akan terjaga seperti sebelum ini, bohong juga jika kita kata langsung tidak dapat apa-apa. Apakah jaminan yang kerajaan dapat berikan jika ada juga janji masih belum dapat ditunaikan. Mahu juga tahu.

“Salah satu calon dari PH kata akan bina hospital itu memang sangat menggembirakan kami kerana hakikatnya kita memang tiada hospital paling dekat, tetapi pada masa yang sama saya mahu tanya anda, tanah siapa kamu guna untuk bina?

“Adakah tanah orang kampung, jika demikian, mana kami mahu tinggal? Jangan tabur janji kemudian tidak dapat ditunai kerana kami akan tuntut. Jadi kami harap semuanya di lakukan dengan seikhlas baik.

“Kepada semua calon dan juga parti politik, jangan tabur janji, jangan buat tohmahan atau tuding jari, jangan ugut-ugut tetapi tunjuklah keikhlasan kamu dan yakinkan kami sehabis baik,” tegasnya. –MalaysiaGazette

MGF18022019_SEMBANG SANTAI11
Timbalan Presiden Pakatan Harapan, Tan Sri Muhyiddin Yassin (kanan) bersalaman dengan penduduk, Muha Aziz, 39, selepas pada Program Sembang Santai sempena Pilihan Raya Kecil (PRK) N.24 Semenyih di Warung Kak Ting, Pekan Beranang, Selangor. foto SYAFIQ AMBAK, 18 FEBRUARI 2019

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast