Saksi ke-11, Arumugam Kandasamy hadir untuk prosiding inkues bagi menentukan punca kematian Anggota Unit Bantuan Perkhidmatan Kecemasan (EMRS) Jabatan Bomba dan Penyelamat (JBPM) Subang Jaya, Allahyarham Muhammad Adib Mohd. Kassim di Mahkamah Kompleks Shah Alam, Selangor. foto AFFAN FAUZI, 19 FEBRUARI 2019

SHAH ALAM – Seorang pemandu teksi mengaku tidak nampak perusuh menyerang jentera bomba dan van Unit Bantuan Perkhidmatan Kecemasan (EMRS) pada 27 November 2018 lalu.

Saksi ke-11 inkues kematian anggota bomba, Allahyarham Muhamad Adib Mohd. Kasim, Arumugam Kandasamy, 66, yang memandu teksi jenis Proton Exora pada 12 tengah malam itu berkata, tumpuannya hanya kepada pergerakan jentera bomba di hadapan van EMRS yang mengundur dan melanggar teksinya sehingga mengakibatkan kenderaannya berpusing. 

“Saya tidak nampak. Perhatian saya terhadap pengunduran jentera bomba,” katanya. 

Arumugam terdahulu menceritakan pintu teksinya tidak boleh dibuka selepas dilanggar jentera bomba yang mengundur itu mengakibatkan orang-ramai di kawasan itu terpaksa membantunya keluar. 

Pemandu teksi selama 20 tahun itu menambah, dia mengambil masa 20 hingga 35 minit sebelum dikeluarkan.

“Saya tak nampak van sudah sebab saya dah pening. Saya hanya ingat saya saya ditolong orang ramai keluar dari kereta,” katanya.

Selepas teksinya dilanggar, Arumugam tidak ingat apa yang berlaku termasuk jika ada mana-mana individu turun dari jentera bomba atau van EMRS. 

“Saya pun rasa gelabah setelah teksi dilanggar, saya tidak ingat atau perhatikan apa yang berlaku selepas itu. 

“Saya tidak inga apa-apa sebelum pengunduran jentera bomba.

“Selepas dilanggar, saya tidak ingat apa-apa, saya pening dan saya takut memang tak nampak apa-apa berlaku semasa atau selepas,” tambahnya yang tidak mengalami kecederaan fizikal selepas kejadian yang berlaku. 

Arumugam juga memaklumkan  jarak teksinya yang telah dilanggar dari van EMRS lebih kurang tiga meter. 

Akibat kemalangan itu, Arumugam yang pada mulanya mengaku berlaku kerosakan hanya di bahagian kanan dan hadapan teksinya kemudian menukar kenyataan yang kenderaannnya mengalami kesan geseran di semua bahagian.

Arumugam kemudiannya memberitahu membuat laporan polis di USJ 8. -MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast