Ab Rashid Ab Rahman
Ab Rashid Ab Rahman

PUTRAJAYA – Jawatankuasa Khas Pembaikan Sistem dan Undang-Undang Pilihan Raya yang baharu ditubuhkan akan membuat kajian secara menyeluruh semua undang-undang dan sistem pilihan raya sedia ada.

Pengerusinya, Tan Sri Ab. Rashid Ab. Rahman berkata, jawatankuasa itu yang mempunyai 18 ahli daripada pelbagai latar belakang, pengalaman dan kemahiran perhubungan antarabangsa.

Kata beliau, jawatankuasa itu akan mengendalikan perbincangan melibatkan wakil semua parti politik untuk mengumpul segala cadangan, pandangan serta pendapat untuk penambahbaikan undang-undang dan sistem sedia ada.

Jelasnya, hasil daripada cadangan itu, yang akan dikumpul sebanyak mungkin di seluruh negara termasuk Sabah dan Sarawak akan dikemukakan kepada Perdana Menteri, Tun Dr. Mahathir Mohamad.

“Arahan kepada kita ialah semua sistem dan undang-undang yang tidak dilihat sempurna akan disempurnakan. Ia akan dibawa oleh Dr. Mahathir ke mesyuarat kabinet untuk memilih yang terbaik dari cadangan terbaik untuk dijadikan undang-undang.

“Sekarang ini adalah perbincangan pertama bagi peringkat zon tengah yang melibatkan Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur dan Selangor. Selepas ini, kita akan ke Pulau Pinang, Johor Bahru, Kelantan, Sabah dan Sarawak.

“Selepas semua cadangan dikumpul, kita akan sediakan dalam bentuk laporan dan kemukakan kepada Perdana Menteri,” katanya pada sidang media di Dewan Serbanguna, Menara Usahawan hari ini.

Kata Ab. Rashid, beliau diberi mandat oleh Mahathir untuk mengetuai jawatankuasa khas itu, memandangkan pengalamannya bertugas di Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) sebelum ini.

Mengenai perbincangan hari ini dan yang pertama, Ab. Rashid berkata, semua yang terlibat dalam pilihan raya diberi peluang untuk hadir dan mereka berbincang mencari kelemahan dan masalah yang dihadapi.

Ujar beliau, mana-mana sistem atau peraturan yang didapati lemah akan ditambahbaik supaya pilihan raya umum atau pilihan raya kecil akan datang tidak berlaku aduan salahguna jentera kerajaan dan sebagainya.

Kata Ab. Rashid, sebelum ini jika berlaku aduan dari mana-mana parti berhubung salah laku parti atau calon lawan, SPR tidak mempunyai kuasa untuk menanganinya melainkan meminta pihak terbabit membuat laporan polis atau kepada Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia (SKMM).

“Adanya jawatankuasa ini, kita mahu memastikan SPR mempunyai kuasa penuh atas semua kes dan isu atau salahlaku yang berlaku, termasuk persempadanan semula, pendaftaran pemilih, perjalanan pilihan raya dan media.

“Sebenarnya banyak kelemahan berlaku tetapi kita tidak ada undang-undang. Kalau ada pun, ia tidak dikawal oleh SPR,” katanya memberi jaminan semua parti dari besar hingga kecil akan mendapat layanan sama dari jawatankuasa itu.

Ditanya kenapa perlu diwujudkan jawatankuasa khas itu, Ab. Rashid berkata, ia adalah untuk menambahbaikan sistem, peraturan dan undang-undang pilihan raya agar lebih kemas dan tidak diperkecilkan oleh negara maju lain.

“Sejak kerajaan Pakatan Harapan (PH) membuka peluang kepada kita (jawatankuasa khas ini) untuk mengkaji semula sistem sedia ada, nampak benar kerajaan sekarang mahu SPR diberi kuasa yang lebih.

“Komiti saya ini diberi kebebasan yang luas oleh Perdana Menteri dan Kabinet untuk menjalankan tugas ini. Dulu (zaman Barisan Nasional) tidak ada komiti ini,” katanya.

Beliau bagaimanapun, mengakui 13 pilihan raya umum yang diadakan di negara ini tidak termasuk PRU-14 Mei lalu semuanya terbaik.

“Kita mempunyai kerajaan yang baik sejak dahulu. Jalan cakap pasal korup, rasuah, kita cakap dari segi pentadbiran kerajaan. Semuanya baik,” katanya. – MalaysiaGazette