Ketua Pergerakan Malaysiaku Tanahairku, Raggie Jessy Rithaudeen mengenai siasatan polis dan SPRM terhadap Datuk Ambiga Sreenevasan berhubung dakwaan wang suapan RM 90 juta melibatkan UMNO dan PAS di Shah Village Hotel, Petaling Jaya, Selangor. foto AFFAN FAUZI, 21 FEBRUARI 2019

PETALING JAYA – Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) didesak mengeluarkan kenyataan rasmi mengenai laporan yang mendapati tiada dana RM90 juta dari 1Malaysian Development Berhad (1MDB) disalurkan ke akaun bank Pas.

Ketua Pergerakan Malaysiaku Tanahairku, Raggie Jessy Rithaudeen berkata, dua artikel penafian itu telah diterbitkan oleh dua portal baru-baru ini yang memetik sumber agensi itu.

Jelas beliau, tindakan SPRM mendiamkan diri tanpa sebarang kenyataan rasmi kini telah menimbulkan pelbagai spekulasi.

“SPRM perlu mengeluarkan kenyataan rasmi serta-merta bagi mengesahkan kesahihan artikel yang diterbitkan di dua portal baru-baru ini.

“Jika masih berdiam, SPRM telah mewujudkan spekulasi bahawa agensi itu menggunakan media untuk mengakui memang tiada dana 1MDM dimasukkan ke akaun bank Pas,” katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media bersama Bugis Bangkit di sini hari ini.

Baru-baru ini, dua portal iaitu MalaysiaKini dan The Malaysian Insight yang memetik sumber melaporkan hasil penelitian SPRM terhadap akaun bank Pas mendapati tiada wang RM90 juta dari 1MDB dimasukkan ke dalam akaun rasmi parti politik berkenaan.

Mengulas lanjut, Raggie menambah pihaknya akan membuat laporan polis jika SPRM enggan mengesahkan kesahihan laporan artikel itu.

Jelas beliau, ini kerana laporan artikel tersebut amat berat dari segi implikasinya terhadap sistem keadilan negara.

Sepatutnya tegas Raggie perdedahan oleh media itu perlu dipandang serius oleh SPRM dengan mengumumkan apa jua keputusan siasatan dalam kapasiti rasmi agensi itu dan bukan menerusi media menggunakan sumber.

“Tindakan SPRM ini seolah-olah melindungi Datuk S Ambiga kerana pada 7 Februari lalu saya membuat laporan di SPRM untuk menyiasat bekas Pengerusi Bersih 2.0 berhubung kes dana RM90 juta yang didakwa diterima Pas daripada UMNO.

“Ini kerana sebelum ini, editor Sarawak Report, Clare Rewcastle Brown mendakwa Ambiga telah memberitahunya bahawa bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak telah mengeluarkan suapan RM90 juta kepada pemimpin tertentu di Pas.

“Clare menyatakan hal ini di dalam satu dokumen yang difailkan di Mahkamah London pada 2017,” katanya. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast