Pengerusi Jawatankuasa Khas Pembaikan Sistem dan Undang-Undang Pilihan Raya (ERC), Tan Sri Ab. Rashid Ab Rahman bercakap pada sidang media di Menara Usahawan, Putrajaya. foto HAZROL ZAINAL,21 FEBRUARI 2019.

PUTRAJAYA – Tan Sri Ab. Rashid Ab. Rahman memuji Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) mengendalikan Pilihan Raya Kecil (PRK) di bawah era kerajaan Pakatan Harapan (PH) yang disifatkan sebagai telus dan adil.

Pengerusi Jawatankuasa Khas Pembaikan Sistem dan Undang-Undang Pilihan Raya itu berkata, ini berbeza ketika di era Barisan Nasional (BN) sebelum ini yang menggunakan media sebagai bahan kempen mereka.

“Dahulu saya sakit hati pada media mainkan dokumentari atau berita pembangunan yang kerajaan buat (laksanakan). Kasihan kepada pembangkang ketika itu tidak ada peluang dan ruang untuk memaparkan kebaikan mereka.

“Tengok TV1 dan TV3 zaman kerajaan PH sekarang, tak siar calon-calon kerajaan,” katanya yang juga bekas Pengerusi SPR pada sidang media di Dewan Serbaguna Menara Usahawan hari ini.

Terdahulu Ab. Rashid menghadiri program perbincangan ahli jawatankuasa khas itu dengan wakil parti politik untuk menambahbaikan sistem, peraturan dan undang-undang pilihan raya.

Ditanya sejauhmana keadilannya kepada parti politik dalam usaha penambahbaikan itu, sedangkan beliau ada Naib Presiden Parti Pribumi Bersatu Malaysia (PPBM), Ab. Rashid menjelaskan, beliau tidak terikat dengan kepentingan politik.

“Walaupun saya Bersatu tapi dalam hal ini saya bebas tidak terikat dengan parti (Bersatu).

“Tidak timbul akan berat sebelah kerana matlamat saya ialah semua parti politik dan calon yang bertanding akan dapat hak masing-masing,” katanya.

Mengenai petisyen yang diterima mahkamah bagi kes Parlimen Cameron Highlands dan DUN Rantau, beliau berkata, ia terserah pada mahkamah untuk menentukannya.

Katanya, apabila hakim membatalkan keputusan terdahulu, bermakna mahkamah berpuas hati dengan undang-undang sedia ada seperti larangan politik wang dan kes calon tidak memakai tag nama dilarang masuk ke pusat penamaan calon.

“Walaupun ada undang-undang setiap calon memakai tag nama, tetapi disebabkan kelemahan sistem itu menyebabkan pencalonan parti yang bertanding dibatalkan.

“Jadi, ini tujuan jawatankuasa ini ditubuhkan. Kita nak wujudkan undang-undang seluruhnya,” tegas beliau.

Beliau turut meminta orang ramai untuk sama-sama memberi maklum balas kepada jawatankuasa itu agar usaha menambahbaikan undang-undang pilihan raya sedia ada semakin bertambah baik. – MalaysiaGazette