Muhyiddin Yassin
Timbalan Presiden Pakatan Harapan, Tan Sri Muhyiddin Yassin bercakap kepada media selepas menunaikan solat Jumaat sempena Pilihan Raya Kecil (PRK) N.24 Semenyih di Masjid Kampung Batu 3, Jalan Bangi Lama, Semenyih. foto SYAFIQ AMBAK, 22 FEBRUARI 2019

SEMENYIH – Senarai nama pengganti bagi jawatan Ketua Polis Negara dan timbalannya akan diputuskan dalam terdekat sebelum ia dipersembahkan kepada Yang di-Pertuan Agong (YDPA).

Menteri Dalam Negeri, Tan Sri Muhyiddin Yassin berkata, sebelum itu, beliau perlu mencadangkan dua penama bagi jawatan itu kepada Perdana Menteri, Tun Dr. Mahathir Mohamad terlebih dahulu.

“Saya akan kemukakan secara rasmi kepada Perdana Menteri mungkin dalam sehari dua ini, saya sudah selesaikan itu, jadi saya nak mencadangkan dua penama saya akan bawa kepada Perdana Menteri.

“Saya fokus kepada beberapa nama tertentu sahaja saya tak nak letak banyak sangat tapi apa pun ikut peraturan dan Perlembagaan perkara ini akan diangkat oleh Perdana Menteri kepada YDPA,” katanya pada sidang media selepas menunaikan solat Jumaat di Masjid Batu 3 hari ini.

MGF22022019_TSMY SOLAT JUMAAT12
Timbalan Presiden Pakatan Harapan, Tan Sri Muhyiddin Yassin (dua kiri) diiringi calon Pakatan Harapan PRK N.24 Semenyih, Muhammad Aiman Zainali (kiri) berucap selepas menunaikan solat Jumaat sempena Pilihan Raya Kecil (PRK) N.24 Semenyih di Masjid Kampung Batu 3, Jalan Bangi Lama, Semenyih. foto SYAFIQ AMBAK, 22 FEBRUARI 2019

Muhyiddin mengulas mengenai persaraan wajib empat pegawai tertinggi Polis Diraja Malaysia (PDRM) secara berperingkat mulai Mac ini dan ia melibatkan Tan Sri Mohamad Fuzi Harun serta timbalannya, Tan Sri Noor Rashid Ibrahim.

Selain itu, dua lagi pegawai yang akan bersara dalam masa terdekat ialah Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Bukit Aman, Datuk Seri Wan Ahmad Najmuddin Mohd dan Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik Bukit Aman, Datuk Seri Mohmad Salleh.

Mohamad Fuzi akan bersara pada Mei ini manakala Noor Rashid pula 17 Mac ini.

Muhyiddin bagaiamanapun enggan mendedahkan nama calon bagi pengganti jawatan tertinggi pasukan keselamatan itu.

“Saya hanya mengemukakan cadangan sahaja, jadi mungkin ada perubahan atau pindaan itu terserah kepada PM dan akhirnya kepada YDP Agong.

“Memang ada nama, itu tak payah sebut, yang penting ada nama,” katanya lagi. – MalaysiaGazette

ARTIKEL BERKAITAN:

https://malaysiagazette.com/blog/2019/02/20/siapa-selepas-fuzi/