Mohamad Fuzi Harun

KUALA LUMPUR – Polis telah membuka 3 kertas siasatan berhubung kes penghinaan ke atas Nabi Muhammad S.A.W dan isteri baginda, Siti Aisyah menerusi kata-kata dan infografik.

Ketua Polis Negara, Tan Sri Mohamad Fuzi Harun berkata, sebanyak 478 laporan polis telah diterima berhubung kes penghinaan agama Islam itu oleh pemilik akaun Facebook Foo Sing Wai setakat pukul 9 pagi hari ini.

“Suspek berusia 68 tahun telah ditangkap pada 19 Februari 2019 dan direman selama 3 hari mulai 20 Februari hingga 22 Februari 2019.

“Atas faktor umur dan komplikasi kesihatan, suspek telah dibebaskan pada 22 Februari 2019 dengan diberi jamin polis,” katanya dalam kenyataan.

Menurut Mohamad Fuzi, kertas siasatan akan dirujuk kepada Timbalan Pendakwa Raya untuk arahan lanjut.

Sementara itu, beliau berkata, sebanyak 11 laporan polis dibuat berhubung kata-kata hinaan yang dibuat pemilik akaun Sarkar Tanesan terhadap Nabi Muhammad S.A.W dan umat Islam.

Menurutnya, suspek yang berusia 21 tahun telah ditahan pada 21 Februari lalu dan tahanan reman beliau dilanjutkan sehingga esok untuk siasatan lanjut.

Dalam pada itu, Mohamad Fuzi berkata, sebanyak 16 laporan polis diterima berikutan komen jelek pemilik akaun Facebook, Sally Yen terhadap Nabi Muhammad S.A.W dan agama Islam yang dibuat dalam posting pada 2013.

“Kes diklasifikasikan sebagai NFA (tiada tindakan lanjut) oleh pihak pendakwa raya kerana pemilik akaun tidak dapat dikenalpasti setelah dirujuk kepada Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia untuk pengesahan,” ujar beliau.

Tambah Ketua Polis Negara, siasatan sedang dijalankan untuk mengenalpasti Sally dan pihak yang menularkan semula hantaran berkenaan.

Beliau berkata, sebanyak 2 laporan polis juga diibuat berhubung kes itu setakat 9 pagi ini.

Mohamad Fuzi berkata, ketiga-tiga kes disiasat di bawah Kanun Keseksaan dan Akta Komunikasi dan Multimedia 1998. – MalaysiaGazette