Rahimah Rahim
Rahimah Rahim. foto FAREEZ FADZIL, 23 SEPTEMBER 2017

KUALA LUMPUR – Semuanya bermula dua tahun lalu apabila penyanyi Rahimah Rahim berjaya dengan Konsert Rahimah Rahim My Life My Art di Singapura.

Penonton yang hadir ketika itu adalah pengarah muzik tersohor, Datuk Mokhzani Ismail dan isteri, Datuk Tengku Shireen Tengku Suleiman.

Gara-gara tertarik dengan konsep konsert itu, Tengku Shireen yang juga Yanh Dipertua Persatuan Pandu Puteri Perlis berhasrat mengadakan konsert sama ke Malaysia.

Namun selepas beberapa kali tertangguh kerana kesibukan Rahimah, akhirnya konsert itu dijayakan pada 13 April ini di Auditorium DBKL.

Mokhzani sendiri yang akan mengetuai orkestra pengiring konsert yang berkonsepkan amal bagi mengutip dana Pandu Puteri itu.

“Saya mahu mengisi tabung Pandu Puteri Perlis bagi membolehkan kanak kanak di Perlis mengikuti aktiviti di peringkat pusat.

“Ibu bapa di Perlis ini tidak berkemampuan sebagaimana ibu bapa di Kuala Lumpur, itulah sebabnya kami perlukan wang bagi menampung aktiviti mereka,” kata Tengku Shireen dalam sidang media di baru-baru ini.

Turut memeriahkan konsert, Khai Bahar dan adik Rahimah, Rozie Rahim.

Konsert tersebut bersifat perjalanan seni Rahimah yang bermula sebagai artis kanak kanak pada tahun 70-an, penyanyi kelab pada era 70-an sebelum menjadi artis rakaman seterusnya mencipta nama di Malaysia.

“Saya bercerita pasal perjalanan hidup suka duka saya melalui lagu-lagu saya,” kata Rahimah.

Tiket tiket dijual pada harga FM350, RM250 dan RM150. Untuk pertanyaan boleh hubungi talian Ruby 019 2409 727 atau 017 6804 495 (Zaty).

Mokhzani pula berharap konsert itu akan mendapat sambutan kerana melihat orang Malaysia yang mengharapkan konsert percuma.

Sementara itu Rahimah sendiri turut beramal dengan tidak mengenakan bayaran bagi jayakan konsert tersebut. – MalaysiaGazette