Noraini Ahmad
Pengerusi PAC, Datuk Noraini Ahmad

KUALA LUMPUR- Pergerakan Wanita UMNO mendesak Peguam Negara mendakwa segera individu yang menghina institusi Islam dan Nabi Muhammad SAW.

Ketuanya, Datuk Dr. Noraini Ahmad berkata, tindakan yang adil dan tegas perlu diambil ke atas mana-mana individu yang sengaja melakukan penghinaan ke atas agama dan Rasulullah kerana provokasi itu boleh mengugat keharmonian dan keamanan negara.

Jelas beliau, tindakan polis membebaskan Foo Sing Wei atas jaminan misalnya, selepas ditahan kerana memuat naik status Facebook menghina Nabi Muhammad SAW telah mencetuskan kemarahan umat Islam negara ini.

“Peguam Negara perlu serius menangani isu ini demi menjaga kesucian agama Islam dan sensitiviti penganutnya serta keharmonian masyarakat berbilang kaum di Malaysia.

“Pada masa yang sama, tindakan tegas yang diambil akan memberi isyarat yang jelas bahawa sebarang penghinaan bukan sahaja kepada Islam bahkan kepada mana-mana agama sekalipun adalah suatu perkara yang tidak boleh dikompromi,” katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.

Noraini menambah tindakan tegas dapat memberi kesedaran kepada semua bahawa perbuatan mempersendakan agama adalah perbuatan jenayah. – MalaysiaGazette