AirAsia
AirAsia

BANGKOK – AirAsia Aviation Pcl., pemilik syarikat penerbangan tambang murah Thai AirAsia berkata ia sedang mengkaji untuk membeli kepentingan dalam pesaingnya, Nok Air menyebabkan sahamnya meningkat.

“Ketika ini syarikat mengkaji sama ada pelaburan itu sesuai,” kata Ketua Pegawai Kewangan, Santhat Sanguandikul, dalam kenyataan merujuk kepada pemilikan saham daripada keluarga bilionaire Jurangkool yang menyaksikan saham Nok Air naik sebanyak 13 peratus.

Syarikat tersebut mempunyai modal pasaran sebanyak 9.3 bilion Baht dan sahamnya kini diniagakan pada harga 3.06 Baht, tertinggi sejak Mac 2018, lapor Reuters.

Keluarga Jurangkool yang memiliki syarikat alat ganti kenderaan, Thai Summit dan Thai Steel Cable Pcl. kini memiliki 53 peratus kepentingan dalam Nok Air.

Pengumuman tersebut dilakukan ketika syarikat penerbangan kebangsaan, Thai Airways Pcl. tidak menggunakan haknya untuk melanggan saham baharu Nok Air yang menyaksikan pengurangan pegangan kepada 15.9 peratus daripada 21.8 peratus.

AirAsia Aviation menguasai 55 peratus kepentingan dalam Thai AirAsia manakala baki kepetingan itu dimiliki AirAsia Group Bhd. dari Malaysia. – Agensi