Bangunan Tabung Haji. foto HAZROL ZAINAL, 11 DISEMBER 2018.

KUALA LUMPUR – Lembaga Tabung Haji masih kekal di bawah bidang kuasa Jabatan Perdana Menteri dan tidak pernah dipindahkan kepada Kementerian Kewangan.

Kedudukan organisasi yang menguruskan urusan haji itu berubah dengan pengenalan syarikat tujuan khas (SPV) yang telah dipersetujui dalam mesyuarat Kabinet.

Pejabat Perdana Menteri membuat kenyataan itu ekoran terdapat tuduhan yang mendakwa bidang kuasa Tabung Haji telah dipindahkan kepada Kementerian Kewangan.

Ia susulan keputusan Jemaah Menteri untuk memindahkan aset-aset yang tidak menguntungkan Tabung Haji kepada SPV milik Kerajaan.

“Pemindahan aset-aset tersebut kepada SPV ialah sebahagian usaha mengembalikan keadaan kewangan Tabung Haji kepada normal dan mempercepatkan pemulihan kewangan institusi tersebut setelah berlakunya salah laku secara
besar-besaran,” kata kenyataan itu.

Tabung Haji juga diletakkan di bawah kawal selia Bank Negara Malaysia (BNM) sebagai badan yang bebas dan di bawah pimpinan Gabenor Datuk Nor Shamsiah Mohd Yunus yang mengawal selia semua bank dan institusi kewangan di
dalam negara, termasuk institusi-institusi kewangan Islam.

Sehubungan itu, katanya, dakwaan dan tuduhan bahawa Tabung Haji dipindahkan kepada Kementerian Kewangan adalah palsu dan tidak berasas sama sekali.- MalaysiaGazette