Mohamad Fuzi
Ketua Polis Negara, Tan Sri Mohamad Fuzi Harun melakukan gimik pelancaran Hari Peringatan Ulang Tahun Penubuhan Pasukan FRU Ke-63 di Pangkalan Pasukan Simpanan Persekutuan, Kuala Lumpur. foto HAZROL ZAINAL, 26 FEBRUARI 2019.

KUALA LUMPUR – “Mungkin sebab saya bujang lagi, mungkin saya berkahwin bila tiba masa bersara. Terimalah dengan gembira”.

Itu reaksi Ketua Polis Negara (KPN), Tan Sri Mohamad Fuzi Harun apabila ditanya mengenai perancangan beliau selepas bersara wajib pada Mei ini.

“Mungkin saya bujang, mungkin saya berkahwin, jadi banyak benda saya boleh buat (selepas bersara).

“Bukan sahaja saya, bila tiba masa bersara terima. Gembira, janganlah buat spekulasi bukan-bukan,” katanya pada sidang media selepas Majlis Perbarisan Peringatan Ulang Tahun Pasukan Simpanan Persekutuan Ke-63 di PGA Cheras hari ini.

Isteri Mohamad Fuzi, Puan Sri Azizah Hamdi meninggal dunia akibat barah di Pusat Perubatan Universiti Malaya (PPUM), Petaling Jaya, Selangor Disember lalu.

Tambah Mohamad Fuzi, selain beliau tiga pegawai kanannya termasuk Timbalan Ketua Polis Negara, Tan Sri Noor Rashid Ibrahim juga akan bersara wajib.

Noor Rashid bersara wajib pada 17 Mac ini.

“Kita dah selesai tanggungjawab. Kami percaya sudah menjalankan tanggungjawab dengan amanah dan baik.

“Jangan risau, kami gembira untuk bersara, mungkin (saya) jual durian di tepi jalan, awak masa itu datang belilah kalau (lihat) saya jual durian,” ujarnya secara berseloroh dengan senyuman. – MalaysiaGazette